KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd telah memeterai perkongsian strategik dengan NetSfere, penyedia global penyelesaian pemesejan perusahaan dan kerjasama selamat, bagi melancarkan platform komunikasi sulit di seluruh rangkaian 30 hospitalnya di seluruh negara.
Di bawah kerjasama itu, NetSfere akan menyediakan platform komunikasi yang selamat, patuh (undang-undang) dan diuruskan secara berpusat untuk KPJ Healthcare bertujuan melindungi maklumat sensitif sambil membolehkan kerjasama lancar dalam kalangan pakar penjagaan kesihatan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia itu berkata kerjasama terbabit, merangkumi penyulitan menyeluruh, panggilan suara dan video, perkongsian fail selamat serta kawalan pentadbiran teknologi maklumat lanjutan untuk menyokong pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan piawaian industri penjagaan kesihatan.
“Platform itu yang dihoskan melalui Amazon Web Services (AWS) di Malaysia turut menawarkan amaran krisis masa nyata, tadbir urus teknologi maklumat berpusat dan kebolehauditan penuh.
“Ia juga melibatkan Net-C, pembantu kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan doktor serta kakitangan hospital mengakses aliran kerja dan maklumat dengan selamat pada masa nyata, sekali gus meningkatkan produktiviti,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata kerjasama tersebut mengukuhkan cara kakitangannya berhubung dan bekerjasama serta melindungi kepercayaan yang diberikan pesakit.
“Ia memberikan sebuah platform yang selamat untuk pasukan kami berkomunikasi dan berkolaborasi, sambil menjamin piawaian privasi data yang tertinggi. Dengan mengukuhkan keupayaan ini di seluruh rangkaian kami, kami membina asas digital yang akan membolehkan penjagaan yang lebih selamat dan lebih bijak sambil kami memajukan KPJ Health System,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden NetSfere Anurag Lai pula berkata pihaknya sangat teruja untuk membawa NetSfere ke kesemua 30 hospital KPJ untuk memberi pesakit dan kakitangan jaminan bahawa mereka dilindungi.
“Platform kami dibina untuk melampaui penanda aras antarabangsa untuk keselamatan, pematuhan dan kecemerlangan komunikasi. Dalam persekitaran penjagaan kesihatan hari ini, tadbir urus teknologi maklumat yang melindungi bukan sahaja pilihan teknologi tetapi ia merupakan sebuah keperluan klinikal,” katanya.
Kerjasama tersebut yang telah mula diperkenalkan di KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital, Johor Specialist Hospital dan Ampang Puteri Specialist Hospital, menunjukkan penerimaan awal yang positif dengan peningkatan jelas dalam komunikasi klinikal selamat.
Dengan lebih 2,900 lesen pengguna yang akan diagihkan di seluruh kumpulan, NetSfere dijangka menyokong doktor, jururawat, pasukan klinikal dan pengurusan hospital dalam menyampaikan penjagaan yang lebih cekap serta selamat.
KPJ Healthcare berkata kerjasama itu menegaskan komitmen syarikat untuk memajukan inovasi di bawah KPJ Health System, yang mengintegrasikan aspek klinikal, pendidikan dan penyelidikan, bagi memberikan nilai serta hasil lebih baik kepada pesakit sekali gus memperkukuh landskap penjagaan kesihatan swasta Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial