AM

Pemerkasaan Guru Perlu Diberi Tumpuan Dalam Belanjawan 2026 - Pakar

06/10/2025 02:19 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Penekanan terhadap pemerkasaan guru melalui latihan selaras dengan keperluan pendidikan semasa, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) wajar diberi perhatian dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Okt ini.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata peruntukan khas bagi memperkukuh program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga diharapkan menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan negara.

“Keupayaan anak-anak dalam menguasai ilmu sangat bergantung kepada kualiti guru. Bagi memastikan pendidikan lebih baik, kita perlu menyediakan peluang pembelajaran kondusif dan berkesan, jadi Belanjawan 2026 perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan golongan pendidik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anuar berkata keperluan meningkatkan kemahiran guru ketika ini amat penting bagi memastikan murid dapat mempelajari ilmu berasaskan digital selaras dengan perkembangan teknologi semasa, termasuk AI sekali gus memastikan sistem pendidikan negara kekal berdaya saing di peringkat global.

“Malaysia mempunyai sekitar 450,000 orang guru dalam pelbagai peringkat dan sebahagian besar daripada mereka menerima latihan asas lebih 10 hingga 30 tahun lepas. Jadi mereka perlu diberi latihan semula bagi meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat, AI dan digital supaya mampu menyampaikan pembelajaran dengan lebih relevan dan berkesan.

“Kita mungkin mempunyai bilangan guru yang ramai, tetapi persoalannya ialah sejauh mana keupayaan mereka seiring dengan tuntutan pendidikan masa kini. Oleh itu, Belanjawan 2026 perlu memberi peruntukan khas bagi program latihan semula dan peningkatan kemahiran guru,” katanya.

Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berkata pembudayaan STEM juga perlu diberi penekanan sejak di peringkat sekolah rendah bagi menarik minat lebih ramai murid terhadap bidang sains dan matematik yang kini menunjukkan trend penurunan.

“Begitu juga dengan AI yang merupakan perkara baharu dan kita tahu ada sekolah belum bersedia sepenuhnya dari segi AI. Jadi kita mengharapkan supaya pendedahan ini dapat diberikan kepada murid di sekolah melalui peruntukan khas tersebut,” katanya.

Anuar juga berkata penambahan bilangan guru perlu dilakukan melalui pembukaan jawatan baharu serta peruntukan gaji bersesuaian memandangkan Malaysia masih berdepan kekurangan tenaga pengajar dalam subjek tertentu. 

“Kita menyasarkan seorang guru bagi 25 murid pada setiap bilik darjah. Melalui pertambahan belanjawan, jumlah murid dalam setiap kelas dapat dikurangkan sekali gus membolehkan guru memberi tumpuan dan menyampaikan pengajaran lebih berkesan,”katanya.

Bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa kepada murid dan guru pula, Anuar mencadangkan supaya peruntukan lebih besar disediakan bagi penyediaan infrastruktur sekolah sama ada menambah baik atau membina sekolah baharu di kawasan lebih strategik.

“Bilangan bilik darjah di sekolah sedia ada juga mesti ditambah, selain peruntukan khas dalam pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara berfasa bagi memastikan keselamatan murid terjamin dan ini akan meningkatkan kepercayaan ibu bapa terhadap sekolah,” katanya.

Anuar juga berkata kesejahteraan murid khususnya golongan B40 perlu diberi perhatian melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan perkhidmatan kesihatan di sekolah, bagi menjamin tahap kesihatan pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah.

“Program RMT dan perkhidmatan kesihatan juga penting supaya lebih ramai murid daripada keluarga B40 serta M40 yang mempunyai anak ramai dapat menikmati manfaat tersebut. Ini penting bagi memastikan mereka  berada dalam keadaan lebih sihat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon menjangkakan kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) memandangkan sesi persekolahan baharu biasanya bertepatan dengan sambutan Aidilfitri.

“Kami (NUTP) kekal positif terhadap Kementerian Kewangan (MOF) agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan