KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Program Perarakan Tanglung Pertengahan Musim Luruh Tertinggi di negara ini, anjuran Menara Kuala Lumpur (KL), mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya diadakan pada ketinggian 394 meter (m) dari aras laut, sekali gus mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd Khairil Faizal Othman berkata program itu bertujuan memperkenalkan lagi Pesta Kuih Bulan iaitu satu daripada perayaan kaum Cina kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Tujuan utamanya ialah untuk mengetengahkan bakat yang boleh menghiasi tanglung selain mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang perayaan yang mungkin masyarakat di negara ini terlepas pandang,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan acara itu di Sky Terrace, Menara KL hari ini.
Lebih 150 peserta dan pengunjung yang hadir memeriahkan acara perarakan tanglung di ruang terbuka turut berpeluang mengabadikan kenangan di Sky Box.
Khairil Faizal berkata penganjuran program itu juga seiring dengan usaha Menara KL melakukan persiapan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pelbagai aktiviti berteraskan kebudayaan dan pelancongan.
Sebagai pengurusan baharu yang mengambil alih menara itu sejak April tahun ini, pihaknya berhasrat menjadikannya sebagai pusat penganjuran pelbagai program yang mampu menarik minat pelancong serta masyarakat tempatan.
Penganugerahan MBOR itu diserahkan oleh wakilnya, Menaga Vadamalai kepada Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) Tan Sri Lim Keng Cheng.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial