DUNIA

Lawatan PM Pakistan Pacu Perkongsian Strategik Pakistan-Malaysia

05/10/2025 02:37 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia dari Ahad hingga Selasa mencerminkan momentum baharu dalam perkongsian strategik jangka panjang antara kedua-dua negara, dengan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan sektor baharu yang sedang berkembang.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata lawatan itu, yang diadakan atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memperdalam kerjasama susulan lawatan bersejarah Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.

“Pakistan dan Malaysia ialah rakan strategik. Hubungan jangka panjang kami berasaskan kepercayaan dan saling menghormati, berakar dalam sejarah serta pegangan agama yang sama.

“Perkongsian ini kini semakin luas dan aktif dengan pelbagai bidang baharu sedang diterokai,” katanya dalam temu bual bertulis kepada Bernama.

Syed Ahsan berkata lawatan Perdana Menteri Malaysia tahun lalu membuktikan komitmen tinggi kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam semua bidang.

“Beberapa perjanjian telah dimeterai bagi meningkatkan kerjasama, khususnya dalam bidang perdagangan.

“Malaysia juga membuka pejabat perdagangan (MATRADE) di Karachi, menunjukkan minat seriusnya untuk memperluas hubungan perniagaan dengan Pakistan. Kedua-dua negara kini bekerjasama rapat untuk meningkatkan perdagangan dua hala,” katanya.

Beliau menambah terdapat banyak bidang yang boleh diterokai bersama, termasuk industri halal, teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI), pertanian, pelancongan, pendidikan, pembinaan dan infrastruktur.

“Suruhanjaya Tinggi juga menganjurkan Persidangan Perniagaan dan Pelaburan pada 6 Okt sempena lawatan Perdana Menteri, yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Acara itu akan menghimpunkan hampir 400 tokoh perniagaan utama dari kedua-dua negara yang mewakili pelbagai sektor. Ia merupakan peluang penting untuk membina kerjasama, berkongsi idea dan menggalakkan pelaburan,” katanya.

Menurut Syed Ahsan beberapa perjanjian antara perniagaan (B2B) juga akan ditandatangani di luar sidang utama, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap usaha sama antara sektor swasta Malaysia dan Pakistan.

“Malaysia dan Pakistan kini bergerak ke arah hubungan ekonomi yang lebih kukuh dan saling melengkapi, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik pada 1957, dan hubungan dua hala itu ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada Mac 2019.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion (US$1.76 bilion), meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Barangan eksport utama Malaysia ialah minyak sawit, petroleum dan produk kimia, manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut dan produk petroleum.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan