SEREMBAN, 5 Okt (Bernama) -- Keputusan supaya rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani borang "Permohonan untuk Pelepasan Segera" selepas ditahan di Penjara Ketziot, Israel, adalah untuk mempercepat proses penghantaran pulang mereka.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu merupakan prosedur operasi standard yang telah dimaklumkan kepada delegasi lebih awal oleh sekretariat misi kemanusiaan itu memandangkan penahanan oleh rejim Zionis terbabit dijangka berlaku sepertimana misi terdahulu.
“Apabila mereka menandatangani borang itu, tidak perlulah mereka melalui proses perundangan yang rumit, kita tidak tahu macam mana proses perundangan di Israel dan besar kemungkinan mereka terpaksa ditahan lebih lama (jika tidak tandatangan). Jadi, proses ini diringkaskan.
“GSF bukan misi keganasan, tetapi misi keamanan untuk bantah kekejaman Israel, mereka tidak bawa senjata di dalam bot, jadi jangan salah faham, ada orang pertikai kita mengalah (tandatangan borang), kita bukan menyerah kalah, langkah itu ialah diplomasi secara lembut dan diam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad di sini hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata tindakan menandatangani borang pelepasan berkenaan juga memudahkan urusan diplomatik memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan Israel dan hanya meminta bantuan dari negara rakan termasuk Turkiye, Jordan dan Mesir.
Dalam pada itu, Mohamad berkata proses dokumentasi dan urusan membawa pulang kesemua 23 aktivis Malaysia yang telah dibebaskan dan kini berada di Istanbul akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemua mereka dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia itu ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan akan terus memantau pergerakan lapan lagi sukarelawan rakyat Malaysia membabitkan pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan yang menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Setakat ini, kita belum menerima maklumat terkini dan saya akan berhubung dengan pihak berkaitan, sekiranya mereka ditahan, kita mungkin akan menggunakan cara yang sama termasuk meminta tandatangan borang itu kerana ingin ringkaskan proses perundangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial