AM

Tindakan Pantas PM, Kecekapan Diplomasi Malaysia Terserlah Dalam Misi Pembebasan Sukarelawan GSF

05/10/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) --Tindakan cekap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pembebasan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel memperlihatkan keupayaan tinggi diplomasi halus Malaysia, khususnya melalui jaringan hubungan erat dengan pemimpin negara luar, menurut pemerhati.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi ketika dihubungi Bernama berkata kejayaan ini menunjukkan diplomasi moral dan jaringan antarabangsa Malaysia berfungsi dengan berkesan walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel. 

“Isu peranan Perdana Menteri dalam membawa pulang sukarelawan GSF dari Israel — satu misi kemanusiaan yang rumit, tetapi memperlihatkan keupayaan diplomasi Malaysia dalam dunia tanpa hubungan rasmi dengan rejim Zionis.

“Anwar menggunakan pendekatan ‘diplomasi lintas sempadan’ (cross-border diplomacy) dan rundingan tertutup melalui negara ketiga seperti Mesir, Jordan, Qatar, atau Turkiye – negara yang mempunyai pengaruh langsung terhadap Israel dan akses ke Gaza. Hal ini menggambarkan pendekatan diplomasi berlapis,” katanya. 

Beliau berkata pendekatan diplomasi itu termasuk diplomasi kemanusiaan bersifat berkecuali yang menekankan nilai kemanusiaan tanpa berpihak kepada politik dan diplomasi reputasi, iaitu Malaysia dilihat sebagai suara tegas menentang kezaliman, tetapi tetap pragmatik dalam melindungi warganya.

Katanya, tindakan itu menyerlahkan kebijaksanaan kepemimpinan Anwar sebagai pemimpin dunia Islam yang berani bersuara terhadap Israel, tetapi masih mampu berunding melalui saluran antarabangsa tanpa menjejaskan prinsip dasar luar negara.

Selain itu, Awang Azman berkata kerajaan menggunakan beberapa bentuk diplomasi alternatif yang bijak dan tidak berkonfrontasi dalam keadaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel antaranya diplomasi pihak ketiga, diplomasi kemanusiaan dan diplomasi multilateral.

"Menerusi diplomasi kemanusiaan, fokus bukan kepada politik, tetapi kepada keselamatan sukarelawan dan prinsip kemanusiaan sejagat. Pendekatan ini selaras dengan pendirian Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan koridor kemanusiaan untuk Gaza.

“Diplomasi multilateral pula, Malaysia boleh menggunakan kedudukannya dalam platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan Rakan Dialog ASEAN untuk memberikan tekanan diplomatik tidak langsung kepada Israel melalui suara kolektif,” katanya.

Menurut beliau, pada peringkat domestik, kejayaan ini mengukuhkan persepsi rakyat terhadap Perdana Menteri sebagai pemimpin berani, berprinsip dan berempati manakala bagi peringkat antarabangsa, hal ini menonjolkan Malaysia sebagai moral voice of the Global South yang berani memperjuangkan prinsip kemanusiaan sejagat.

"Secara strategik, tindakan ini menempatkan Anwar sebagai pemimpin Islam moden dan progresif yang bijak menyeimbangkan prinsip dan realiti geopolitik. Ia memperkukuh imej beliau sebagai negotiator with conscience, seorang pemimpin yang mampu menegakkan keadilan tanpa perlu tunduk kepada tekanan global.

“Anwar dalam konteks ini telah memperkukuh legasi kepimpinan diplomasi Malaysia yang berani bersuara, tetapi bijak bertindak — satu keseimbangan yang jarang dimiliki dalam dunia antarabangsa hari ini,” katanya.

Senada dengan beliau, Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berpendapat Malaysia berjaya memanfaatkan hubungan baik dengan negara seperti Jordan dan Turkiye yang mempunyai saluran komunikasi rasmi dengan Tel Aviv.

Beliau berkata kejayaan itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil strategi pemimpin negara yang konsisten dalam menggunakan hubungan antara pemimpin.

“Tindakan ini mempamerkan bahawa betapa pentingnya hubungan akrab antara pemimpin dengan pemimpin dan kita tak boleh menyisihkan negara yang baik dengan Israel kerana boleh digunakan secara diplomasi halus untuk menekan Israel … inilah bentuk diplomasi yang dipamerkan Perdana Menteri,” katanya. 

Beliau berkata rekod terdahulu menunjukkan pendekatan yang sama digunakan Anwar dalam konflik serantau lain termasuk usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja. 

“Kalau kita lihat gencatan sejata yang diperoleh secara serta-merta antara Thailand dengan Kemboja dua bulan lepas adalah kerana strategi Perdana Menteri memanggil dua kuasa besar China dan juga Amerika Syarikat untuk berada bersama-sama dalam meja rundingan.

“Jadi, inilah strateginya, Perdana Menteri tidak akan menyisihkan kuasa besar, tetapi akan dikatakan menggunakan kuasa besar jika memberikan manfaat kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya. 

Azmi berkata imej Perdana Menteri pada peringkat antarabangsa kekal utuh memandangkan beliau dikenali sebagai pemimpin yang berupaya berhujah secara tersusun, berprinsip dan berwibawa dalam mempertahankan maruah, keadilan serta keselamatan negara di pelbagai platform global.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sentimen di dalam negara apabila masih terdapat segelintir rakyat yang enggan memberikan penghargaan sewajarnya kepada Perdana Menteri hanya kerana perbezaan ideologi politik, sedangkan isu berkaitan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara seharusnya mengatasi kepentingan partisan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan