DUNIA

GSF: Delegasi Malaysia Dijadual Berlepas Pulang Ke Tanah Air Isnin Ini

04/10/2025 11:28 PM

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dijadualkan berlepas pulang ke tanah air pada Isnin ini, kata Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Beliau berkata kesemua delegasi Malaysia itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam ini waktu Malaysia, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Beliau berkata ketibaan semua rakyat Malaysia disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, pegawai Wisma Putra serta wakil kerajaan Turkiye, sebelum ditempatkan di hotel di sekitar Istanbul atas jemputan dan tajaan kerajaan negara itu bagi memberikan ruang kepada delegasi berehat sebelum penerbangan pulang.

“Sumud Nusantara menzahirkan jutaan terima kasih dan terharu mewakili seluruh keluarga, delegasi, sekretariat serta rakyat Malaysia yang menjadi pendukung misi ini, atas kepedulian dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia, yang berusaha bersungguh-sungguh menggunakan hubungan erat diplomatik antarabangsa untuk rundingan bagi proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia.

“SNCC turut menzahirkan penghargaan kepada keseluruhan jemaah menteri, khususnya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang banyak memainkan peranan,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Dalam pada itu, Sany Araby mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati dan melaksanakan solat hajat dan qunut nazilah agar perang di Gaza dapat dihentikan segera berpandukan perkembangan positif rundingan antara pihak Hamas dengan rejim Zionis yang sedang berlaku.

Katanya, SNCC sedang merancang gelombang kedua misi kemanusiaan melibatkan bantuan darat secara besar-besaran dari Malaysia ke Gaza sekiranya koridor kemanusiaan Rafah dibuka.

“Ini mesej khas saya untuk seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pencinta keamanan, pendukung pembebasan Gaza, Misi Sumud Nusantara dan GSF. Ini menjadi saksi dan bukti besar dalam sejarah yang berjaya membangkitkan gelombang kesatuan,” katanya.

Selain itu, Sany Araby berkata empat rakyat Malaysia yang berada di atas kapal pemerhati, Jong serta beberapa individu lain yang ditempatkan di Cyprus dan Jordan berada dalam keadaan baik dan dijangka bergabung dengan delegasi Malaysia di Istanbul sebelum pulang bersama-sama ke tanah air.

Beliau berkata kejayaan membawa keluar semua rakyat Malaysia dari Israel ialah hasil rundingan diplomatik kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Turkiye, Jordan dan Amerika Syarikat.

Beliau turut mengesahkan 137 daripada 462 peserta misi GSF dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia yang ditahan telah berjaya dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.

“Sumud Nusantara mengajak semua pendukung untuk terus mendoakan agar kesemua baki delegasi GSF yang masih dalam tahanan dibebaskan segera,” katanya.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Malaysians detained during the Global Sumud Flotilla (GSF) mission include singer Heliza Helmi and her sister Nur Hazwani Afiqah (ship Hio), Nurfarahin Romli (Farah Lee) and Danish Nazran Murad (Grande Blu), singer Zizi Kirana (Huga), Musa Nuwayri, Iylia Balqis and Sul Aidil (Alma) and Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin and Rusydi Ramli (Sirius).

Others included Razali Awang (Inana) influencer Nurul Hidayah Mohd Amin, aka Ardell Aryana (Mikeno), PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar and Norazman Ishak (Estrella), Zainal Rashid and Ustaz Muhammad Abdullah (Fair Lady), as well as Muhammad Hareez Adzrami, known as Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli and Taufiq Mohd Razif (Free Willy).

The GSF mission involved over 500 activists from 44 countries sailing towards Gaza to break the Israeli blockade and deliver vital supplies to Palestinians amid ongoing attacks by the Zionist regime.

Sumud Nusantara Operations Centre (SNCC) director Datuk Dr Sani Araby urged Malaysians to unite in prayer through solat hajat and qunut nazilah for an immediate end to the Gaza conflict, citing positive developments in negotiations between Hamas and Israel.

He added SNCC is planning a second humanitarian mission to deliver large-scale aid from Malaysia to Gaza, pending the opening of the Rafah humanitarian corridor.

“This message is for all Malaysians who cherish peace, support Gaza’s liberation, and stand behind Sumud Nusantara and the GSF missions. It marks a historic wave of unity,” he said.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan