AM

GSF: Kejayaan Bawa Pulang Aktivis Malaysia Bukti Kekuatan Diplomasi Kerajaan MADANI

04/10/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kejayaan membawa pulang 23 rakyat Malaysia terlibat misi Global Sumud Flotilla (GSF) daripada tahanan Israel membuktikan kekuatan diplomasi Kerajaan MADANI yang berpaksikan prinsip kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan itu membuktikan Kerajaan MADANI bergerak dalam satu pasukan, bersatu dalam tindakan dan bersepakat demi kepentingan rakyat.

“Kejayaan ini merupakan hasil rangkaian rundingan diplomatik yang panjang dan berlapis-lapis, melibatkan pelbagai negara termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).

“Usaha diplomatik Kerajaan MADANI juga memberi tumpuan kepada keselamatan bukan sahaja rakyat Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan wakil dari Eropah, Indonesia serta negara lain yang menyertai misi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata penglibatannya dalam perbincangan dengan utusan khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff sebagai menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memperkukuh saluran komunikasi dengan pihak antarabangsa.

Beliau juga menyifatkan pembebasan itu melambangkan kejayaan mempertahankan maruah dan keselamatan rakyat Malaysia, yang kekal menjadi keutamaan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pegawai diplomatik dan keselamatan yang bekerja tanpa henti dalam memastikan kepulangan wira kemanusiaan berkenaan dapat disempurnakan dengan selamat.

“Semoga mereka yang dibebaskan diberikan kekuatan dan ketenangan selepas melalui ujian getir di bawah kekejaman rejim Zionis. Kejayaan ini mengingatkan kita bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan suara kemanusiaan tidak akan pernah dapat dibungkam,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menyifatkan misi tersebut berjaya meningkatkan kesedaran global bahawa rejim Israel bukan sahaja menentang gerakan pembebasan Palestin dan Gaza, tetapi turut menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas.

Terdahulu, Perdana Menteri menerusi siaran langsung berkata kejayaan membawa keluar 23 rakyat Malaysia anggota delegasi GSF dari Israel melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa termasuk perbincangan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Kerajaan Jordan serta Saifuddin Nasution dan Witkoff.

Anwar berkata kejayaan itu juga hasil rundingan beliau dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.

Menurut Perdana Menteri perancangan dan rundingan membawa pulang serta menyelamatkan semua mangsa tidak hanya terbatas kepada keselamatan delegasi dari Malaysia dan Turkiye, tetapi juga peserta negara lain. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan