Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal mengalami turun naik ketara minggu hadapan jika penutupan kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) masih berterusan, kata penganalisis.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata setiap minggu penutupan kerajaan AS dianggarkan mengurangkan 0.1 mata peratusan daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat (tahunan) atau kira-kira US$7 bilion.
Keadaan itu meningkatkan risiko bahawa kebuntuan yang berpanjangan boleh menghakis keyakinan, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada masa sama, tumpuan domestik akan beralih kepada Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan.
Sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, hala tuju fiskal kerajaan dijangka ditetapkan menerusi Belanjawan 2026 dengan penekanan kepada rasionalisasi subsidi, perlindungan sosial dan perbelanjaan infrastruktur, katanya.
Beliau berkata penerima manfaat dijangka termasuk sektor pengguna, pelancongan dan pembinaan, sejajar dengan agenda pertumbuhan jangka masa sederhana kerajaan.
“Secara keseluruhan, walaupun risiko global mungkin mencetuskan ketidaktentuan, Bursa Malaysia dijangka mengalami fasa tidak banyak berubah dengan kecenderungan menurun menjelang pembentangan belanjawan.
“Aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan, terutama kerana kalangan kaunter teknologi telah mengambil kira optimisme mengenai potensi pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS,” katanya.
Beliau berkata dalam keadaan itu, pelabur dijangka kekal memilih dan berhati-hati dalam membuat pegangan menjelang pengumuman fiskal yang akan menetapkan nada sentimen sehingga akhir tahun.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prospek keseluruhan akan kekal positif selagi indeks yang menjadi penanda aras berada di atas melepasi paras 1,620, membuka laluan ke arah paras 1,650.
Beliau berkata sebarang fasa tidak banyak berubah perlu dilihat sebagai jeda yang positif, dengan paras 1,600 menjadi paras ketahanan penting.
“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,650 minggu hadapan,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 26.01 mata kepada 1,635.06 daripada 1,609.05 minggu lepas.
Indeks FBM Emas melonjak 188.23 mata kepada 12,181.67, Indeks FBMT 100 naik 183.92 mata kepada 11,908.96 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 145.26 mata kepada 12,193.73.
Indeks FBM ACE menokok 146.66 mata kepada 5,347.12, manakala Indeks FBM 70 melonjak 239.85 mata kepada 17,090.20.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 33.99 mata kepada 7,796.64, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.59 mata kepada 174.35.
Indeks Perkhidmatan Kewangan turut melonjak 445.56 mata kepada 18,602.40, manakala Indeks Tenaga menambah 5.14 mata kepada 787.66.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.04 bilion unit bernilai RM14.55 bilion daripada 17.03 bilion unit bernilai RM13.37 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 10.07 bilion unit bernilai RM12.85 bilion daripada 8.80 bilion unit bernilai RM11.55 bilion pada minggu sebelum ini.
Jumlah dagangan waran mencecah 4.70 bilion unit bernilai RM694.53 juta berbanding 5.45 bilion unit bernilai RM826.39 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE juga bertambah kepada 3.25 bilion unit bernilai RM998.20 juta daripada 1.52 bilion unit bernilai RM610.19 juta minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial