Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ringgit terus mencatatkan kenaikan pada sesi pembukaan hari ini, disokong oleh sentimen bahawa penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang berpanjangan boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) untuk melonggarkan dasar monetarinya.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat 30 peratusan dalam mata kepada 4.2010/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2090 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar pertukaran dolar AS-ringgit (USDMYR) dijangka kekal stabil dan diniagakan antara 4.20 dan 4.22 hari ini.
Katanya peserta pasaran menjangka ketidaktentuan ekonomi berikutan penutupan kerajaan AS akan memberi tekanan kepada Fed untuk menurunkan kadar faedah dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sekali gus mengurangkan permintaan terhadap dolar AS dan menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit.
“Pada masa ini, peniaga dan pelabur bergantung pada kaji selidik syarikat swasta mengenai pasaran tenaga kerja untuk membina pandangan mereka tentang keadaan ekonomi berikutan penutupan kerajaan AS,” katanya kepada Bernama.
Katanya penutupan kerajaan AS paling lama adalah pada 22 Dis 2018 hingga 25 Jan 2019 yang mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS, masing-masing sebanyak 0.1 dan 0.2 mata peratusan pada suku keempat 2018 dan suku pertama 2019.
Pada sesi awal, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.9248/9412 daripada 4.9410/9468 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding pound kepada 5.6482/6671 daripada 5.6741/6809 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8543/8640 daripada 2.8669/8705 sebelum ini.
Ringgit diniagakan bercampur-campur hingga tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9409/9920 daripada 12.9829/13.0040 semasa ditutup semalam, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2596/2707 daripada 3.2665/2707 dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 253.0/254.0 daripada 253.2/253.6.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.26 daripada 7.23/7.25 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial