KUALA TERENGGANU, 30 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu akan memperhebat program advokasi dan penerangan bagi meningkatkan kefahaman pengguna mengenai program Budi MADANI RON95 (BUDI95) sekali gus melancarkan pelaksanaan inisiatif itu.
Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata pihaknya dengan kerjasama pengusaha stesen minyak telah melatih dan menempatkan kakitangan bagi memberikan penerangan secara terus kepada pengguna.
Beliau berkata setakat ini proses pengisian petrol berjalan lancar dan tiada sebarang aduan diterima mengenai masalah sistem tergendala atau sebagainya, namun masih ada pengguna yang keliru mengenai cara untuk mendapatkan subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter.
"Semua stesen minyak di Terengganu dilihat bersedia sepenuhnya melaksanakan penggunaan sistem subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI95.
"Setakat ini orang ramai memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan ini (BUDI95). Semua stesen minyak telah melakukan persiapan awal," katanya selepas membuat tinjauan di sebuah stesen minyak di Cendering, di sini hari ini.
Selepas anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori B40, hari ini 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat harga petrol RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial