EKONOMI

NCT, NGX Bekerjasama Bangun NCT InnoSphere, Pemacu Baharu Pembangunan Di Bukit Kayu Hitam

29/09/2025 07:32 PM

BUKIT KAYU HITAM, 29 Sept (Bernama) - Northern Gateway (NGX) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat NCT (Kumpulan NCT) akan membangunkan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar Terurus (MIP) NCT InnoSphere, di sini, yang bakal menjadi pemacu baharu pembangunan di kawasan ini.

NGX merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kementerian itu yang berperanan sebagai peneraju dasar fiskal dan pelaburan strategik, menyokong pembangunan tersebut yang akan di bangunkan di Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Delapan yang dimajukan NGX.

Beliau berkata NGX telah diberikan mandat untuk membangunkan kawasan sempadan Malaysia–Thailand, khususnya Bukit Kayu Hitam, sebagai hab perdagangan, logistik dan industri serantau.

“Antara projek berimpak tinggi yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan Kompleks ICQS baharu, Logistics Hub dan Inland Port, serta Northern Digital Corridor dengan Internet Exchange.

“NGX bukan sahaja memberi fokus kepada infrastruktur fizikal, tetapi juga ekosistem digital, industri pintar dan rantaian bekalan yang mampan. Inilah asas untuk menjadikan SBEZ sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN daratan, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran taman perindustrian tersebut yang disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

NCT Innosphere yang terletak di kawasan zon bebas seluas 55.44 hektar akan dibangunkan dalam lapan fasa pembangunan, dengan setiap fasa meliputi campuran komponen perindustrian, komersial dan sokongan untuk menggalakkan aktiviti operasi, perdagangan dan pembuatan yang cekap. 

Pembangunan projek itu akan menyediakan lebih 230 unit premis, termasuk unit berkembar, unit sesebuah, kelompok, berangkai dan konfigurasi binaan khas, yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelbagai perniagaan merentasi sektor, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM1.10 bilion.

Menurut Lim, pembangunan NCT InnoSphere akan mengukuhkan lagi kedudukan Delapan sebagai hab industri dan menjadi simbol keyakinan terhadap potensi Kedah dalam menawarkan persekitaran pengilangan pintar, teknologi hijau dan ekosistem rantaian bekalan serantau yang kukuh.

“InnoSphere menyediakan platform dinamik untuk menembusi pasaran ASEAN dengan infrastruktur bertaraf antarabangsa dan kos yang kompetitif. Selain pelaburan, InnoSphere juga bakal merancakkan sektor pelancongan dan komersial,” katanya.

Sementara itu, pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata NCT InnoSphere bukan sahaja akan mencipta nilai ekonomi jangka panjang bagi kawasan utara, tetapi juga menyokong usaha negara mempelbagaikan saluran logistik dan menyelaraskan perdagangan lancar antara pasaran serantau.

“Di bawah perjanjian pembangunan bersama ini, Kumpulan NCT bertanggungjawab bagi penyerahan penuh projek, termasuk perancangan, pembinaan dan pembangunan ekosistem. Manakala NGX sebagai pemilik tanah dan pemudah cara, akan memantau kerja infrastruktur utama, penyediaan utiliti dan penyelarasan kawal selia untuk menjamin pelaksanaan projek yang lancar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan