AM

MOF Keluarkan Soalan Lazim Mengenai Inisiatif BUDI MADANI

25/09/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Selaras dengan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF), rakyat Malaysia yang layak bakal menerima 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga bersubsidi.

Menurut Soalan-Soalan Lazim (FAQ) dalam portal rasmi https://www.budimadani.gov.my/, MoF memaklumkan penetapan kelayakan itu penting bagi mengelakkan subsidi disalah guna oleh pihak yang tidak sepatutnya.

“Jumlah ini ditetapkan berdasarkan data kerajaan yang menunjukkan ia mencukupi bagi lebih 99 peratus pengguna kenderaan persendirian dan berdasarkan purata penggunaan petrol oleh pemandu kenderaan persendirian yang mencecah hanya sekitar 80 liter sebulan.

“Namun, kerajaan menetapkan siling kelayakan yang lebih tinggi bagi mengambil kira julat dan taburan penggunaan mengikut individu,” menurut portal berkenaan. 

Selain itu, MoF memaklumkan jumlah 300 liter yang diperuntukkan oleh kerajaan juga mengambil kira kegunaan bukan kenderaan bagi kumpulan seperti petani, peladang dan perniagaan kecil lain.

“Kumpulan yang telah memohon Permit Khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula boleh membeli lebih daripada 20 liter bagi tujuan bukan kenderaan, seperti kegunaan pertanian’” menurut portal berkenaan. 

MoF turut menyatakan sekiranya baki BUDI95 telah habis digunakan, baki jumlah pembelian akan ditetapkan pada harga minyak tanpa subsidi kerajaan yang asal. 

Sementara itu, MoF dalam satu ciapan di platform X hari ini memaklumkan orang ramai boleh membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 menerusi portal rasmi https://www.budimadani.gov.my/ bermula 9.00 pagi tadi.

Tinjauan di laman sesawang itu mendapati semakan profil kelayakan boleh dilakukan dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan dan tiada pendaftaran baharu diperlukan. 

Terdahulu, MoF memaklumkan pengguna perlu memasukkan MyKad ke dalam pengimbas di pam minyak sekali sahaja untuk pengaktifan sebelum membuat bayaran sama ada dalam bentuk tunai, kad kredit/debit atau e-dompet. 

“Program BUDI95 itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan iaitu kumpulan tertentu seperti anggota tentera dan polis diberikan akses awal sebelum dibuka kepada umum,” katanya dalam kenyataan Isnin lepas.

MoF turut memaklumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai MyKad dan lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 sen sehingga 300 liter sebulan bermula 30 Sept ini.

Pemandu e-hailing pula diberikan pilihan untuk memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal rasmi berkenaan. 

Untuk rujukan lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di 1300-88-9595.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan