KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) mencatat sejarah sebagai sekolah menengah pertama di Malaysia yang menubuhkan Makmal Kecerdasan Buatan (AI), bersempena sambutan 100 tahun penubuhannya hari ini.
Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, makmal itu akan menjadi model rujukan bagi pendekatan pembelajaran berasaskan inovasi, projek serta penyelesaian masalah, sekali gus menjadi pemangkin kepada masa depan baharu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
“Langkah ini bukan sahaja akan menjadi model rujukan kepada sekolah menengah teknik dan kolej vokasional, malah membuka ruang untuk diterapkan di sekolah menengah kebangsaan bagi memperkukuh ekosistem TVET sejak peringkat awal.
“Dengan ilmu, teknologi dan akhlak, Insya-Allah pelajar kita mampu menghadapi cabaran masa depan,” katanya pada Majlis Pelancaran 100 Tahun SMTKL di sini, hari ini.
Beliau berkata penubuhan Makmal AI berkenaan turut menarik penglibatan sekolah menengah sekitar sebagai ‘feeder schools’, bagi memastikan bakat pelajar dalam bidang teknikal dapat diasah sejak peringkat awal.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut mengumumkan kerjasama sekolah itu dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memperkenalkan pendekatan ‘KOSEN oriented’ yang julung kali diterapkan di peringkat sekolah menengah teknik di Malaysia.
Pendekatan tersebut menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar (hands-on), kolaborasi industri dan pemupukan daya cipta.
SMTKL yang merupakan sekolah teknik menengah tertua di Malaysia turut menerima Anugerah Emas bagi Kategori Pendidikan Digital Terbaik (Sekolah Menengah) pada Majlis Digital Utilisation & Technology Awards (DUTA) 2024 yang berlangsung Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial