AM

PAAB Peruntuk RM23.67 Juta Ganti Paip Lama Di Kelantan

28/09/2025 02:40 PM

KUALA KRAI, 28 Sept (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan RM23.67 juta bagi melaksanakan projek penggantian paip lama di sekitar daerah ini termasuk dari Damar hingga ke Kampung Lubok Simpul.

Pengerusi PAAB Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, projek yang siap sepenuhnya pada Mac lalu itu melibatkan jajaran paip sepanjang 23.2 kilometer merangkumi kawasan di Kota Bharu Timur, Machang dan Tanah Merah

“Pelaksanaan projek penggantian paip ini yang menelan kos RM23.67 juta mampu meningkatkan tekanan air serta menyelesaikan isu kebocoran dan paip pecah yang kerap berlaku di Kampung Lubok Simpul.

“PAAB juga memberi jaminan akan terus memantau perkembangan bekalan air di kawasan ini dari semasa ke semasa termasuk meneliti sebarang isu yang dihadapi penduduk,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Santuni MADANI bersama PAAB di Madrasah Kampung Lubok Simpul, di sini hari ini.

Terdahulu, PAAB turut mengambil inisiatif membina sebuah tangki air baharu di Madrasah Kampung Lubok Simpul sebagai sebahagian usaha menaik taraf infrastruktur bekalan air bersih luar bandar di bawah Program Santuni MADANI.

Mengulas lanjut, Jaseni berkata, pembinaan tangki baharu yang mula dipasang pada Julai lalu itu berfungsi sebagai pusat pengagihan air alternatif untuk komuniti setempat dengan kapasiti 4,500 liter.

“Kampung Lubok Simpul dipilih sebagai kampung angkat di bawah inisiatif Santuni MADANI, selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi serta syarikat berkaitan kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara lebih dekat dan berfokus.

“Hasil kajian PAAB mendapati penduduk Kampung Lubok Simpul sering berdepan gangguan bekalan air berulang akibat tekanan rendah serta keadaan tangki lama yang uzur, justeru kampung ini dipilih,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya tangki baharu itu, sebanyak 124 akaun pengguna melibatkan kira-kira 500 penduduk akan mendapat manfaat sekiranya berlaku gangguan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Pahi sama ada akibat masalah teknikal atau kerosakan paip.

Menurutnya, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini juga mempunyai kemudahan menyalurkan bekalan air sementara menggunakan lori tangki terus ke tangki baharu di surau berkenaan.

“Jika sebelum ini paip utama yang menyalurkan air ke kawasan ini adalah jenis asbestos cement yang berisiko tinggi pecah sehingga memaksa AKSB mengurangkan tekanan air, kini keadaan itu dapat diatasi sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung Mohd Khairul Anuar menzahirkan penghargaan kepada PAAB atas sumbangan berkenaan yang berjaya menyelesaikan masalah bekalan air bersih sejak 30 tahun lalu.

“Sebelum ini, majoriti 500 penduduk kampung hanya bergantung pada air tandak. Apabila tiba musim tengkujuh, air sering keruh dan kebersihannya diragui.

“Walaupun ada bekalan air daripada AKSB sebelum ini, namun ia tidak menyeluruh kerana tekanan rendah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan