AM

Kursus Di UKM Berkualiti, Bukan Kursus Lelong

27/09/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kursus yang ditawarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukanlah ‘kursus lelong’, sebaliknya semua program pengajian adalah berkualiti dan diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh berkata semakan kursus dilakukan secara berkala setiap lima tahun bagi menjamin mutu pengajaran dan pembelajaran serta memastikan ia relevan dengan keperluan semasa.

“Penetapan kursus pelajar adalah berdasarkan pilihan mereka sendiri dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU), manakala kemasukan pula bergantung kepada kualiti pelajar itu sendiri,” katanya pada sidang media di UKM hari ini.

Mengenai program julung kali dilancarkan universiti itu iaitu Program Anak Angkat UKM, beliau berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian.

“Program ini dibuka kepada tiga pelajar daripada keluarga serba kekurangan, termasuk dua daripadanya anak yatim piatu. UKM akan menanggung sepenuhnya pengajian mereka dari hari pendaftaran sehingga graduasi, merangkumi yuran serta bantuan wang saku,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, UKM memaklumkan seramai 4,078 pelajar baharu diterima masuk daripada 70,745 permohonan untuk program Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2025/2026.

Daripada jumlah itu, 58.8 peratus adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dengan latar belakang pelajar pelbagai negeri, termasuk 12 pelajar orang kurang upaya (OKU), enam pelajar Orang Asli, empat pasangan kembar dan tujuh pasangan adik-beradik.

Selain itu, seramai 355 pelajar antarabangsa dari Bangladesh, Brunei, China, Indonesia, Singapura dan Sudan turut mendaftar di universiti tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan 29 pelajar diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sementara menunggu bantuan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa atau zakat.

UKM juga menyediakan pelbagai bantuan seperti Bantuan Jejak Pewaris Watan sebanyak RM1,200, Bakul Rahmah, peralatan asrama, serta membangunkan aplikasi dalaman e-Prihatin-UKM bagi membolehkan pelajar memohon bantuan kewangan secara dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan