KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Kursus pengajian di universiti di negara ini masih relevan selaras dengan keperluan pasaran serta perancangan kerajaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program pengajian yang ditawarkan di universiti kini tidak relevan kerana tidak selaras dengan keperluan industri, adalah tidak benar.
"Kita sentiasa ingin tekankan di sini bahawa universiti, khususnya di peringkat kementerian mengambil pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole of government.
"Maknanya, bagi perancangan masa depan keperluan pasaran negara dalam industri tertentu, pihak kementerian yang ada sentiasa bekerjasama kerana kita mahu pastikan universiti awam atau universiti swasta memberikan khusus yang ada nilainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program “Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan: Era Baharu Kepimpinan” anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata proses untuk membuat penilaian terhadap keperluan pasaran akan sentiasa dilakukan, khususnya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan di peringkat Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI).
"Program yang diatur itu sentiasa berada dalam perancangan bersama di peringkat pelbagai kementerian bagi memenuhi keperluan negara. Mungkin ada satu pihak yang melihat dari segi keperluan industri tertentu tetapi dalam konteks perancangan kita melihat secara keseluruhan dalam pelbagai sektor.
"Ada bidang yang mempunyai keperluan di pasaran tetapi asas kepada teras pendidikan kita tidak boleh korbankan kerana ia menjadi asas untuk membentuk manusia. Itu jangan kita lupa," tambahnya.
Zambry berkata pihak kementerian, MQA dan universiti sentiasa membuat penilaian dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi satu-satu kursus untuk memastikan sama ada kursus itu masih relevan atau tidak dengan kehendak pasaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial