EKONOMI

RCEP Berusaha Capai Semakan Menyeluruh Perjanjian Pada 2027 Untuk Kekal Relevan

25/09/2025 03:30 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang berusaha mencapai semakan menyeluruh perjanjian pada 2027 untuk memastikan perkongsian itu kekal relevan di tengah-tengah perubahan landskap ekonomi global.

Menerusi satu kenyataan bersama, Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP Ke-4 yang diadakan di sini, hari ini, menekankan tentang kepentingan memperdalam hubungan perdagangan dan pelaburan serta membina daya tahan ekonomi.

Para menteri juga menegaskan komitmen penuh untuk menggalakkan perjanjian RCEP secara aktif supaya ia dapat digunakan dengan berkesan oleh perniagaan di rantau ini.

“Mesyuarat itu bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global baru-baru ini serta implikasinya terhadap perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi.

“Selain itu ia juga membincangkan cara untuk mengukuhkan pelaksanaan Perjanjian RCEP dalam menyokong perdagangan bebas dan adil serta sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, khususnya di tengah-tengah landskap ekonomi global yang sedang pesat membangun.

“Mesyuarat juga kekal komited untuk mengelak daripada mengambil sebarang langkah yang tidak konsisten dengan kewajipan di bawah Perjanjian RCEP, serta memastikan pasaran terbuka, bebas, dan berasaskan peraturan, bagi menghapuskan halangan yang tidak perlu untuk berdagang dan mengukuhkan kemudahan perdagangan dan pelaburan untuk semua,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

RCEP ditandatangani pada 15 Nov 2020, selepas lapan tahun rundingan dan disifatkan sebagai zon perdagangan bebas terbesar di dunia. 

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Naib Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Yoji Muto.

RCEP dianggotai negara anggota ASEAN bersama Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Mesyuarat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berakhir esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan