AM

BUDI95 Bakal Cetus Gelombang Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

25/09/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dijangka mencetus gelombang kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya kepada pemilik dan pengguna kenderaan persendirian yang tidak memiliki lesen memandu sah.

Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata inisiatif itu akan memberi kesan langsung kepada tiga kategori utama pengguna iaitu pemilik kenderaan tanpa lesen, individu yang gagal memperbaharui lesen memandu tamat tempoh lebih tiga tahun, serta mereka yang tidak pernah memiliki lesen sama sekali.

Beliau yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata tiga golongan berkenaan sangat banyak di bandar kecil, desa atau kawasan pendalaman dan ladang.

Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada ketiadaan kawalan ketat dalam industri automotif yang membenarkan kenderaan persendirian dibeli tanpa memerlukan pembeli menunjukkan lesen memandu.

“Sudah menjadi amalan sekian lama dalam industri automotif, dengan tiada kawalan oleh kerajaan bahawa tiada larangan dikenakan bagi mana-mana individu tanpa lesen memandu atau menunggang untuk membeli kereta atau motosikal persendirian daripada pengedar kenderaan baharu atau terpakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrim berkata kelemahan penguatkuasaan terhadap keperluan memperbaharui cukai jalan dan insurans juga memburukkan lagi keadaan, dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan perbezaan ketara antara jumlah pembelian kenderaan dan pembaharuan cukai jalan sejak tujuh tahun kebelakangan.

Beliau berkata kenyataan terbaharu JPJ bahawa terdapat 2.3 juta lesen memandu tidak aktif, turut mendedahkan sikap ambil mudah masyarakat terhadap kepentingan memiliki lesen yang sah.

“Dengan pengenalan BUDI95 ini secara langsung dan tidak langsung bakal memaksa pengguna jalan raya yang degil tanpa lesen yang aktif melebihi tiga tahun, menduduki semula ujian lesen memandu.

“Jika mekanisme BUDI95 berjalan lancar seiring dengan pengkalan data JPJ yang mantap untuk 24 bulan seterusnya, saya jangkakan kesan secara berangkai terhadap golongan yang degil termasuk golongan T15, yang akan terpaksa mengikut arus dengan memastikan lesen memandu dan cukai jalan mereka aktif,” katanya.

Shahrim juga berkata BUDI95 dilihat antara petanda awal bahawa kerajaan mungkin akan merangka satu undang-undang baharu untuk memastikan sesiapa yang ingin membeli kenderaan harus mempunyai lesen memandu atau menunggang yang sah.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan