KANGAR, 24 Sept (Bernama) -- Seramai tujuh penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2024 yang diumumkan Stanford University, Amerika Syarikat.
UniMAP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, senarai berprestij itu diterbitkan setiap tahun berdasarkan pangkalan data Scopus, dengan mengambil kira dua kaedah penilaian utama iaitu Career-Long Citation Impact dan Single Year Citation Impact. Penyenaraian ini dianggap antara pengiktirafan paling bernilai di peringkat global.
Bagi kategori Career-Long Impact Citation, tiga penyelidik UniMAP yang diiktiraf ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Prof Dr Subash Chandra Bose Gopinath dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia (FKTK), dan Prof Madya Dr Azwan Iskandar Azmi dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Mekanikal (FKTM).
“Bagi kategori Single Year Impact Citation, tujuh penyelidik UniMAP menerima pengiktirafan, termasuk tiga tokoh yang turut tersenarai di bawah kategori Career-Long Impact Citation.
“Empat lagi ialah Prof Madya Dr Heah Cheng Yong dan Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Mohd Jamir dari FKTM, Prof Madya Dr Liew Yun Ming dari FKTK, serta Dr Wan Azani Wan Mustafa dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik (FKTE),” menurut kenyataan itu.
Stanford University mula menerbitkan senarai World’s Top 2% Scientists pada 2019 dengan metodologi pemilihan yang telus merangkumi jumlah sitasi, h-index dan prestasi penyelidikan berimpak tinggi.
Senarai itu diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana menggunakan data bibliometrik komprehensif daripada Scopus, sekali gus menonjolkan penyelidik yang konsisten memberikan sumbangan signifikan dalam bidang kepakaran masing-masing.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut, sambil menyifatkannya sebagai bukti kemampuan penyelidik UniMAP bersaing di pentas antarabangsa.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama UniMAP di peringkat global, malah menjadi inspirasi kepada seluruh warga penyelidik untuk terus meningkatkan mutu penerbitan, penghasilan inovasi serta memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.
“Kejayaan ini juga membuktikan komitmen UniMAP untuk kekal sebagai sebuah universiti teknikal yang unggul dalam melahirkan penyelidik bertaraf dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial