Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) komited menguruskan Pusat Media Antarabangsa sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan berbekalkan pengalaman luas mengendalikan pelbagai persidangan utama sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pemilihan Bernama sebagai pelaksana dan pengendali pusat media bagi mesyuarat kali ini dibuat berdasarkan rekod prestasi kukuh agensi itu dalam menyediakan sokongan serta liputan yang komprehensif pada acara bertaraf antarabangsa.
“... mengambil kira pengalaman Bernama sendiri yang telah banyak membantu pelaksanaan penyediaan pusat media dalam beberapa mesyuarat utama sebelum ini, saya percaya Bernama dapat melaksanakan tugas ini dengan baik, dan juga dalam mengutip pengalaman lagi untuk kita bersiap sedia untuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-47 pada bulan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat pusat media agensi itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini.
Nur-ul Afida berkata Bernama turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan pantas sepanjang mesyuarat berlangsung termasuk penyediaan bahan berita, foto, serta rakaman video untuk kegunaan media tempatan dan antarabangsa.
Bernama adalah media rasmi dan penyelaras pusat media antarabangsa bagi AEM ke-57.
Lebih 300 petugas media tempatan dan antarabangsa telah berdaftar bagi membuat liputan mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial