JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Agama Didakwa Lagi Lakukan Amang Seksual Terhadap Pelajar Lelaki

24/09/2025 01:28 PM

PASIR MAS, 24 Sept (Bernama) -- Seorang mudir, atau guru besar sekolah pondok, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Mohamad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kubang Batang dan sebuah madrasah di Wakaf Bharu, Tumpat antara 12.30 tengah hari hingga 5.30 petang dari 3 Mac hingga 9 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang  memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohamad Aswadi diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Nov ini.

Pada 11 Sept lepas, Mohamad Aswadi didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tujuh pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun serta memiliki imej lucah dan telah dibenarkan ikat jamin RM45,000.

Selang seminggu kemudian, dia sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Terengganu atas dua pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki lain berusia 14 tahun dan dibenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan