PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Lima inisiatif bagi memperkasakan masyarakat India, khususnya golongan B40, dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India (MITRA) Bilangan 2/2025 dan akan dilaksanakan segera serta berkesan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, antara inisiatif tersebut ialah pelaksanaan 33 projek di 21 kampung tradisi India yang akan dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“(Projek) memang akan dilaksanakan...keputusan sudah dibuat, semuanya teratur dan akan dijalankan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri wakil beberapa agensi kerajaan termasuk KPKT, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Ramanan berkata, inisiatif kedua melibatkan penyediaan papan pintar (smartboard) kepada 400 daripada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara melalui Yayasan Didik Negara (YDN), dengan jumlah bergantung kepada bilangan murid di sekolah berkenaan.
“Ada beberapa sekolah yang akan menerima lebih daripada satu smartboard. Smartboard ini akan diedarkan oleh YDN,” katanya yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai permohonan bantuan sekali beri (one-off) sebanyak RM20,000 kepada 1,000 rumah ibadat Hindu di seluruh negara, tertakluk kepada kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.
“Namun, permohonan ini hanya akan dibuka selepas mendapat persetujuan bertulis. Perdana Menteri juga mengarahkan supaya dibuat sedikit penambahbaikan,” katanya sambil menambah dana tersebut boleh digunakan bagi program keagamaan, pendidikan atau pusat komuniti setempat (Program Dharma MADANI).
Katanya, mesyuarat turut meneliti cadangan peluasan bantuan kepada pekebun kecil India menerusi inisiatif penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil kediaman pekerja ladang India B40.
Ramanan berkata, seramai 5,238 peladang dan pekebun kecil dikenal pasti berpotensi menerima bantuan itu, namun keputusan akhir bergantung kepada persetujuan Perdana Menteri terhadap kertas kerja yang akan dikemukakan.
“Kita telah minta pandangan mesyuarat dan cuba menambah baik supaya pekebun kecil India juga termasuk dalam skop bantuan sekali beri ini,” katanya.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan bantuan sekali beri kepada murid SJKT untuk pembelian pakaian dan kelengkapan persekolahan bagi sesi akademik akan datang, dengan keputusan akhir akan dibuat selepas mendapat input daripada kajian KPM.
Ramanan berkata, bantuan sekali beri RM2,000 kepada pelajar India B40 yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) akan diteruskan, dengan permohonan dibuka dalam masa terdekat.
Menurutnya, 8,000 pelajar India B40 menerima bantuan berkenaan pada tahun lalu, manakala 10,000 pelajar pada 2023, dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM20 juta.
“Semua pembayaran akan disalurkan terus ke akaun penerima tanpa melalui ejen atau pihak ketiga,” katanya sambil menambah pemantauan pelaksanaan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, KPM, YDN dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial