AM

PM Salur Peruntukan RM100,000 Naik Taraf Surau Uzur

24/09/2025 08:16 PM

SUNGAI PETANI, 24 Sept (Bernama) -- Keadaan Surau Kampung Telok dekat sini yang uzur mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih rumah ibadat itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufik Johari berkata projek menaik taraf surau itu akan diselaras oleh pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri Kedah dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

"Surau ini dibina pada 2008 dan hari ini, saya hadir sendiri melihat keadaan surau yang daif, bumbung dan siling bocor selain sistem pendawaian elektrik yang terlalu lama.

"Keadaan surau ini mendapat perhatian Perdana Menteri dan beliau telah meluluskan dana sebanyak RM100,000 untuk baik pulih kerosakan surau ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan surau itu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata surau itu, yang mampu memuatkan 300 jemaah, mula mengalami kerosakan teruk sejak lebih tiga tahun lepas.

Beliau berharap usaha menaik taraf surau itu akan dapat memberikan keselesaan kepada orang ramai khususnya penduduk di kampung tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq berkata mekanisme pelaksanaan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang diperkenal oleh kerajaan disifatkan paling efektif dalam usaha menangani ketirisan subsidi bahan api itu.

Beliau juga berpandangan kerajaan telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak untuk melaksanakan perkara itu dan sedia menambah baik sistem pelaksanaan BUDI95 sekiranya diperlukan.

"Saya juga percaya kementerian yang berkenaan akan mengambil perkara ini secara terbuka… menambah baik sistem serta isu teknikal yang mungkin berbangkit nanti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan