EKONOMI

Telco Lancar Number Verification API Bagi Bank, Peruncit Dalam Talian, Bendung Penipuan

23/09/2025 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kalangan syarikat telekomunikasi negara, iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd hari ini melancarkan pelan yang menyediakan “Number Verification Application Programming Interface (API)” kepada pihak bank dan peruncit dalam talian, sebagai usaha membendung penipuan serta kecurian identiti digital.

Melalui Federated Open Gateway, pembangun perkhidmatan boleh membangunkan aplikasi yang serasi dengan semua pengendali rangkaian yang mengambil bahagian, sekali gus menawarkan antara muka, interoperabiliti serta liputan merentas pasaran.

“Langkah ini membolehkan syarikat menyambungkan platform mereka dengan mudah kepada fungsi rangkaian mudah alih yang lebih menyeluruh,” kata syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Dilancarkan pada Sidang Kemuncak Negara Digital, edisi ASEAN Kuala Lumpur, inisiatif ini adalah sebahagian daripada program Open Gateway GSMA, membolehkan pembangun membina perkhidmatan yang berfungsi di semua rangkaian peserta, sambil memastikan setiap pengendali mengekalkan kawalan ke atas data, dasar dan hasil mereka.

Inisiatif berasaskan API ini dilihat sebagai alternatif lebih selamat kepada kata laluan sekali guna (OTP) menerusi SMS, dengan mengesahkan identiti pengguna mudah alih berdasarkan data rangkaian masa nyata.

Ini sekali gus dapat melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan, di samping memastikan pengalaman digital yang lebih lancar.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi Albern Murty, CEO Maxis Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Maklumat U Mobile Neil Tomkinson, CEO Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris dan CEO YTL Communications Wing K Lee menyatakan sokongan terhadap kerjasama ini, sambil menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memperkukuh kepercayaan dan keselamatan digital.

Sementara itu, Ketua GSMA Asia Pasifik Julian Gorman berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada program global yang melibatkan 79 kumpulan pengendali, meliputi 291 rangkaian dan hampir 80 peratus sambungan mudah alih di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan