AM

MATFA Puji Tindakan Tegas Kerajaan Banteras "Ulat" Teksi Di KLIA

23/09/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) memuji tindakan pantas kerajaan dalam membanteras kegiatan “ulat” teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disifatkan satu komitmen tegas dalam melindungi pelancong serta menjaga reputasi negara.

Presidennya Tan Sri Richard Koh berkata dengan Malaysia sedang membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dijangka menerima kedatangan jutaan pelawat, aspek integriti, keselamatan dan kepercayaan dalam semua segmen perjalanan adalah amat penting untuk dipelihara.

“Pelancong merupakan tonggak utama ekonomi negara, dan memastikan keyakinan semua pelawat adalah amat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Koh berkata MATFA menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing serta kementeriannya dalam usaha memelihara integriti sektor pelancongan negara, khususnya menjelang TMM 2026.

“Taman tema dan tarikan keluarga di seluruh negara komited menawarkan pengalaman yang selamat, menyeronokkan dan meninggalkan kenangan indah kepada pelancong. Kami seiring dengan kerajaan dalam memastikan setiap pengunjung berasa dilindungi dan dialu-alukan,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang “ulat” teksi di Terminal 2 KLIA kerana didakwa menipu seorang pelancong asing dengan mengenakan tambang melampau, iaitu lebih RM800.

Susulan arahan berkenaan, JPJ berjaya mengesan kenderaan terbabit, menahan pemandu berkenaan serta merampas kereta itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan