AM

80 Sukarelawa Jentera Kerajaan MADANI Digerakkan Untuk Misi Pasca Banjir Di Sabah

23/09/2025 03:29 PM

LABUAN, 23 Sept (Bernama) -- Seramai 80 sukarelawan terdiri daripada warga Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan (PL) dan Perbadanan Putrajaya digerakkan menerusi jentera Kerajaan MADANI bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, misi itu adalah susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan jentera Kerajaan MADANI segera digerakkan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Inisiatif itu dikenali sebagai Misi Pasca Banjir Wilayah Persekutuan bersama Sabah yang memulakan fasa pertamanya di Membakut dengan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan St. Patrick dan Tadika Pei You.

“Selain itu, bekalan keperluan asas turut dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Membakut untuk diagihkan kepada keluarga terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaliha diwakili Ketua Pengarah JWP Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dalam misi berkenaan.

Antara sumbangan yang diberikan termasuk 60 tilam, 100 bantal, 100 selimut, 60 tuala dan 60 kain sarung.

Jentera berat turut digerakkan melibatkan lori dan peralatan milik Perbadanan Labuan, penjana elektrik mudah alih, pencuci air bertekanan tinggi serta kelengkapan pembersihan lain bagi menyokong usaha pemulihan.

Dr Zaliha berkata, fasa kedua misi itu akan diteruskan minggu depan di kawasan lain di Sabah yang memerlukan bantuan pasca bencana.

“Menerusi misi ini, kita menyeru semua pihak untuk bersatu padu, menggembleng tenaga dan menzahirkan semangat keprihatinan dalam membantu mereka yang terkesan.

“Usaha pemulihan pasca banjir ini diharap dapat menjadi jambatan solidariti yang mencerminkan keprihatinan dan komitmen Wilayah Persekutuan serta seluruh rakyat Malaysia dalam meringankan beban penduduk Sabah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan