PAPAR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menganggarkan kerosakan sektor agromakanan di Sabah akibat banjir baru-baru ini mencecah RM2.2 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata jumlah berkenaan masih di peringkat penilaian awal Jawatankuasa Teknikal di peringkat jabatan dan agensi berkaitan, sebelum permohonan bantuan Tabung Bencana Pertanian (TBP) dan Tabung Bencana Ternakan dan Perikanan (TBTP) dikemukakan kepada kementerian.
Beliau berkata bagi tanaman padi, sebanyak 109 pesawah terjejas melibatkan kawasan seluas 113.43 hektar dengan anggaran kerugian RM519,963.
“Untuk tanaman selain padi, sebanyak 61 petani terjejas melibatkan kawasan seluas 78.95 hektar dengan anggaran kerugian RM748,200 membabitkan tanaman nanas, cili dan sayur-sayuran,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Sayur Hidroponik di Kampung Gadong, di sini hari ini.
Beliau berkata turut terjejas sektor ternakan dengan 23 penternak mengalami kerugian RM504,350, melibatkan kerosakan infrastruktur serta kematian ternakan seperti itik dan kambing.
Mohamad berkata bagi sektor perikanan, 51 individu termasuk nelayan laut terjejas dengan anggaran kerugian RM208,790, manakala 58 usahawan tani mengalami kerugian berjumlah RM257,000.
Sementara itu, Mohamad menggalakkan petani dan penternak untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan dihadapi sekiranya tiada pegawai daripada agensi di bawah kementerian datang ke kawasan mereka.
Beliau berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada KPKM untuk melaksanakan TBP dengan RM15.9 juta telah diluluskan dan disalurkan Kementerian Kewangan setakat ini untuk membantu golongan sasar di seluruh negara yang terjejas akibat bencana.
“Daripada jumlah ini, sebanyak sembilan permohonan telah diterima dari Sabah khusus di daerah Penampang, Putatan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Tenom dengan jumlah bantuan keseluruhan RM212,271,” katanya.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000.
Selain itu, beliau turut menyantuni keluarga kepada petugas Sabah Electricity (SE) yang lemas dibawa arus banjir di Keningau, selain melawat kawasan sawah padi yang terjejas banjir di Kampung Rampazan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial