KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh CBH Engineering Holding Bhd (CBHB), CBH Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM31.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal untuk stesen pendaratan pengguna (CLS) 132 kilovolt (kV) di sebuah pusat data yang dicadangkan di Johor.
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal itu berkata, pihaknya menerima surat lantikan hari ini bertarikh 25 Ogos, 2025 daripada kontraktor utama yang hanya dikenali sebagai Syarikat A dengan nama itu dirahsiakan di bawah perjanjian tanpa pendedahan (NDA).
“Skop kerja yang akan dilaksanakan oleh CBH Engineering di bawah kontrak ini iaitu membekal, memasang, menguji dan mengendalikan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi stesen CLS 132 kV untuk pusat data yang dicadangkan di Johor,” menurut makluman CBHB kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tempoh kontrak akan bermula dari 7 Sept, 2025 sehingga tarikh anggaran “kesediaan untuk pengaliran tenaga elektrik” pada 10 Mac, 2026.
Syarikat itu berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersihnya sepanjang tempoh projek berlangsung.
CBHB berkata tiada kepentingan secara langsung atau tidak langsung daripada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan mereka berhubung dengan kontrak itu.
“Lembaga pengarah berpendapat penerimaan kontrak ini merupakan urusan perniagaan biasa syarikat dan ia demi kepentingan terbaik syarikat,” tambahnya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial