EKONOMI

WM Senibong Perluas Pertumbuhan Dengan Empat Perbandaran Utama Di Johor

18/09/2025 10:33 AM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pemaju hartanah WM Senibong Sdn Bhd sedang memperluas jejaknya di Johor melalui empat perbandaran terancang utama dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM36 bilion.

Keempat-empat projek berkenaan iaitu Senibong Cove di Masai, Crest@Austin di Tebrau, The Kews di Iskandar Puteri dan projek akan datang Centennial ParcVista di Tebrau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya CK Quay berkata Senibong Cove, sebuah perbandaran tepi air seluas 101.17 hektar mempunyai GDV sebanyak RM14 bilion merangkumi RM7 bilion daripada perbandaran sedia ada dan RM7 bilion lagi daripada projek tambakan seluas 67.18 hektar yang sedang dibangunkan secara berfasa.

Menurut Quay, kerja-kerja tambakan itu akan memperluas skop Senibong Cove dengan menambah komponen baharu dalam pembangunan perbandaran berkenaan.

“Plot 1 diperuntukkan untuk pangsapuri servis, hotel, kedai bebas cukai dan terminal feri manakala Plot 3 akan merangkumi pembangunan kediaman bertanah bermula dengan 110 unit rumah teres dengan GDV sebanyak RM250 juta yang dijadualkan dilancarkan secara berfasa mulai tahun kewangan 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi suai kenal media di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Quay berkata kerja-kerja tambakan itu dibiayai sebahagiannya melalui pengeluaran sebanyak RM310 juta daripada program sukuk kumpulan berkenaan.

“Ini menyebabkan peningkatan ketara dalam pinjaman kumpulan kepada RM430.2 juta dalam lapan bulan pertama tahun kewangan 2025, menjadikan nisbah hutang kepada ekuiti sebanyak 0.45 kali daripada RM46.3 juta atau 0.05 kali dalam tahun kewangan 2024.

“Pinjaman dijangka meningkat lagi bagi membiayai pembelian tanah seluas 49.78 hektar di dalam projek The Kews yang berkemungkinan meningkatkan nisbah tersebut kepada sekitar 0.60 kali,” katanya.

Beliau berkata WM Senibong sedang meneroka usaha pengumpulan dana ekuiti pada 2026 yang berkemungkinan dapat mengurangkan kadar pertumbuhan kepada sekitar 0.30 kali.

Di Crest@Austin di Tebrau, sebuah perbandaran pegangan bebas seluas 150.14 hektar dengan GDV sebanyak RM6 bilion, fasa baharu akan merangkumi pangsapuri servis Topaz dengan 861 unit pada Oktober 2025 dan lot komersial strata Opal pada November 2025.

Sementara itu, The Kews di Iskandar Puteri yang merangkumi kawasan seluas 109.27 hektar termasuk tanah Padang Golf Senibong dengan GDV sebanyak RM6 bilion dijadualkan melancarkan Kew Green 2 yang terdiri daripada 160 unit rumah bertanah pada November 2025 dan Kew Woods dengan 260 unit rumah bertanah pada Februari 2026.

Kumpulan itu juga sedang melaksanakan projek tambakan seluas 67.18 hektar di Selat Tebrau yang akan menghasilkan empat pulau buatan manusia serta dibangunkan secara berfasa dari 2026 hingga 2029.

Projek terbesarnya, Centennial ParcVista di Tebrau akan merangkumi kawasan seluas 388.50 hektar dengan GDV sebanyak RM10 bilion.

Menurut Quay, agensi penarafan kredit MARC Ratings mengekalkan penarafan ‘AA-’ WM Senibong dengan prospek stabil, mencerminkan jualan yang mantap, tahap pertumbuhan yang terkawal dan rangkaian projek yang kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan