KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- SP Setia Bhd melantik Tan Hwa Min sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 17 Nov, dan Datuk Yuslina Mohd Yunus sebagai ketua pegawai operasi (COO) berkuat kuasa 1 Okt, berikutan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai presiden merangkap CEO berkuat kuasa 1 Okt.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata pelantikan berkenaan selaras dengan agenda bakat kepimpinannya yang mantap sambil terus membangunkan bakat dalaman dan menarik profesional berkaliber tinggi dari luar bagi memperkukuh pasukan pemimpinnya.
SP Setia berkata Tan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi IJM Corporation Bhd dan Pengarah Urusan IJM RE Sdn Bhd dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembangunan hartanah dan transformasi strategik.
“Sebelum itu, Tan merupakan COO TRX City Sdn Bhd, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Tun Razak Exchange,” tambahnya.
Sementara itu, Yuslina yang sebelum ini bersama I&P Group, menyertai SP Setia pada 2018 dan kini berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif kanan syarikat itu.
Peranan beliau di SP Setia termasuk menyelia enam kawasan perbandaran utama, operasi pihak berkepentingan, pengurusan aset dan Yayasan SP Setia.
Pengerusi SP Setia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pelantikan berkenaan menunjukkan komitmen syarikat untuk membentuk pasukan pemimpin yang bersedia menghadapi masa hadapan.
“Dengan menerima profesional berpengalaman yang membawa perspektif baharu dan wawasan strategik sambil memupuk bakat dalaman, kami memperkukuh budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan yang akan memacu evolusi berterusan SP Setia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial