KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Central Spectrum (M) Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Halal International Selangor (HIS) hari ini bagi membangunkan ‘The Magnet’ -- Selangor Global HIS Village.’
Kemudahan itu merupakan hab bersepadu generasi hadapan yang berperanan sebagai pintu gerbang global bagi perdagangan dan pelaburan halal.
Dalam kenyataannya, Central Spectrum yang juga pemaju induk Pulau Indah berkata memorandum kerjasama (MoC) itu telah dimeterai pada majlis prapelancaran Selangor Halal4Vibe Fest 2025 yang berlangsung di Pavilion Selangor di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
The Magnet telah dirangka bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam ekonomi halal moden dengan memanfaatkan kelebihan strategik seperti akses terus ke kemudahan Westports, antara terminal kontena paling sibuk dunia selain kedudukan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan keterhubungan lancar ke rangkaian lebuh raya utama Malaysia.
“Lebih daripada sekadar konsep taman perindustrian tradisional, The Magnet menampilkan ekosistem holistik dengan infrastruktur yang mematuhi piawaian halal dan dibangunkan dengan 32 unit kilang, 14 unit kiosk makanan dan minuman (F&B), ruang acara kerjasama, taman bumbung hijau serta sokongan nasihat khusus daripada HIS.
“Pendekatan bersepadu ini dirangka dengan tujuan memperkasa syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta multinasional untuk berkembang serta maju,” katanya.
Sesi pertukaran dokumen MoC itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Central Spectrum Amran Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif HIS Muhammad Khushairi Mat Lasar serta disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah Central Spectrum Mohd Zapi Abdullah.
Sementara itu, Amran berkata kerjasama itu akan menjadikan The Magnet sebagai alamat atau lokasi antarabangsa halal yang diyakini sebagai tarikan utama untuk jenama-jenama global yang mahu menembusi serta berkembang maju dalam pasaran halal menerusi Selangor.
Muhammad Khushairi berkata The Magnet lebih daripada aspek infrastruktur, sebaliknya menjadi enjin atau pemacu masa depan bagi inovasi dan pertumbuhan halal.
“Sokongan nasihat kami dan ditambah lagi dengan ekosistem bertaraf dunia, akan memberi penyelesaian menyeluruh untuk perniagaan -- daripada pensijilan sehinggalah kepada akses pasaran.
“Ini membuktikan bahawa kami tidak hanya menyertai ekonomi halal global tetapi menerajuinya secara aktif yang bermula di Selangor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial