PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) – Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi atau Multi-Agency Task Force (MATF) mencatat pencapaian cemerlang setakat suku ketiga tahun ini dengan kejayaan operasi dan rampasan bernilai RM960.73 juta, peningkatan ketara berbanding hasil kutipan RM705.55 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merangkap Timbalan Pengerusi MATF Tan Sri Azam Baki berkata peningkatan hampir 36 peratus itu membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu agensi penguat kuasa dalam mengekang rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.
“Pada 2024, MATF telah menahan 34 penjawat awam dan 27 orang awam, dengan 25 penjawat awam didakwa melibatkan 352 pertuduhan rasuah, selain lapan dikenakan tindakan tatatertib.
“Tahun ini, kejayaan lebih besar dicapai melalui enam operasi besar bersama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Cyber Security,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Beliau berkata antara operasi yang dijalankan pada 2025 termasuklah Ops White (penyelewengan kontrak kerajaan berkaitan susu tepung bernilai RM174.7 juta), Ops Kingfruit (penipuan pelaburan durian RM16.15 juta di Raub), Ops X (penipuan wang kripto RM28.6 juta), Ops Sikaro (penyeludupan rokok dan tembakau RM218 juta), Ops Metal (penyeludupan besi dan e-waste RM332.5 juta) serta Ops Karen (penyeludupan minyak diesel/petrol RM190.8 juta).
“SPRM selaku peneraju MATF akan terus memperkukuh risikan, siasatan serta kerjasama dengan agensi domestik dan antarabangsa, termasuk bagi memastikan aset yang dipulangkan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan 1MDB.
“Pencapaian ini menunjukkan usaha membanteras rasuah dan jenayah kewangan dijalankan secara bersepadu, telus dan berkesan dengan matlamat memastikan wang rakyat dikembalikan kepada kerajaan,” katanya.
MATF ditubuhkan pada 2018 oleh kerajaan Malaysia susulan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan antara objektifnya ialah menjejaki, membekukan, dan menyita aset yang diperoleh secara haram melalui rasuah atau pengubahan wang haram.
MATF dianggotai SPRM sebagai peneraju bersama-sama gabungan beberapa agensi utama kerajaan antaranya Jabatan Peguam Negara, BNM, Polis Diraja Malaysia, LHDN, JKDM dan Kementerian Kewangan bagi menyelaras siasatan, tindakan undang-undang serta pemulihan aset.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial