AM

Malaysia Terima 14 UAV, Tujuh Bot Penyelamat Menerusi Inisiatif OSA Jepun

22/09/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Malaysia menerima kelengkapan pertahanan merangkumi 14 pesawat  tanpa pemandu (UAV) dan tujuh bot penyelamat, menerusi inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun hari ini, sekali gus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebanyak enam daripada 14 UAV berkenaan akan diserahkan kepada Tentera Darat (TDM), enam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua lagi kepada Bahagian Siber dan Elektronik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata menerusi OSA, Jepun membekalkan peralatan pertahanan tidak membawa maut kepada negara rakan, dengan Malaysia antara penerima inisiatif itu pada tahun ini selain Filipina, Bangladesh dan Fiji.

“Hubungan rapat antara Jepun dan tidak hanya terhad kepada bidang-bidang yang biasa, malah pada hari ini telah menjangkau kepada bidang pertahanan.

“Malaysia dan Jepun berkongsi keyakinan bahawa kestabilan di Asia Tenggara bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di rantau ini, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti global,” katanya ketika pemberita selepas majlis penyerahan peralatan berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama Duta Besar Jepun Shikata Noriyuki dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata peralatan pertahanan buatan Jepun berkenaan membabitkan kos sebanyak RM12.63 juta dan perjanjian penerimaan aset berkenaan dimeterai pada 2023 antara kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS).

“Selain itu, pakej OSA ini turut merangkumi dua lori pembersihan jalan yang kini dalam peringkat tender dan akan melengkapkan lagi pakej bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Shikata berkata Malaysia dipilih sebagai antara empat penerima awal bantuan keselamatan OSA, kerana kedudukannya berhampiran Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Ketika ini, komuniti antarabangsa berdepan perubahan geopolitik yang besar. Dalam konteks ini, mustahak untuk kita bukan sahaja memperkukuh keupayaan sendiri, tetapi juga secara proaktif memupuk persekitaran antarabangsa yang aman dan stabil berasaskan kedaulatan undang-undang.

“Kerjasama dengan Malaysia amat penting bagi Jepun. UAV  ini akan digunakan untuk pemantauan pantai termasuk di Laut China Selatan. Langkah ini akan meningkatkan keupayaan risikan, pemantauan dan pengawasan sekali gus memperkukuh keselamatan maritim Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khaled berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95)  kepada warga tentera bermula Sabtu ini, iaitu lebih awal berbanding orang ramai yang akan mula menikmatinya pada 30 Sept.

Beliau berkata pelaksanaan lebih awal khas kepada warga tentera itu akan membolehkan kerajaan mengukur impak pelaksanaannya, sebelum ia dimulakan untuk orang ramai.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Hanya rakyat Malaysia akan menikmati subsidi ini, manakala bukan warganegara dan syarikat besar akan membayar harga tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan