AM

BUDI95: Rakyat Malaysia Layak Terima Siling Kelayakan Hingga 300 Liter Sebulan - MoF

22/09/2025 11:12 AM

PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Semua rakyat Malaysia layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan, menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

MOF menerusi kenyataan memaklumkan pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan itu dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

“Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan, lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini,” menurut kenyataan itu.

MOF menjelaskan kerajaan telah mengambil langkah bagi memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95, antaranya tiada pendaftaran diperlukan untuk subsidi berkenaan.

“Kedua, hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.

“Ketiga, terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan,” menurut MOF.

Di samping itu, MOF memaklumkan terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.

Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak.

Sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pada 28 Sept. 

“Pada 30 Sept, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif,” menurut MOF.

Kerajaan MADANI menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95. 

“Bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa membaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Penghargaan SARA, kerana hal itu membuktikan cip MyKad berfungsi,” menurut MOF. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan