DUNIA

AIPA Lulus 42 Resolusi Berkaitan Politik, Ekonomi Dan Sosial

20/09/2025 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang berakhir hari ini meluluskan 42 resolusi merangkumi pelbagai isu berkaitan politik, ekonomi dan sosial.

Resolusi berkenaan meliputi aspek kerjasama politik-keselamatan, integrasi ekonomi, keterangkuman sosial, tindakan iklim serta pemerkasaan wanita dan belia, selain memperkukuh kerjasama antara Parlimen AIPA dengan ASEAN dan Parlimen Pemerhati.

Presiden AIPA 2025 merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata resolusi tersebut penting dan boleh dibawa ke Parlimen negara anggota untuk diperbincangkan melalui jawatankuasa pilihan khas atau kaukus. 

“Ini menjadi pendorong untuk Parlimen mengangkat isu-isu yang telah diputuskan, sekali gus membantu menyediakan asas kepada pembentukan undang-undang.

“Walaupun proses penggubalan undang-undang mengambil masa, lebih penting ialah proses pemikiran itu berlaku serentak di seluruh ASEAN,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur  hari ini.

Terdahulu pada perhimpunan itu, turut dibentangkan laporan serta resolusi yang dicapai melalui beberapa jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Politik, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi, Jawatankuasa Hal Ehwal Sosial, Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) dan Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA).

Sidang kali ini juga menyaksikan Malaysia secara rasmi menamatkan tempoh kepengerusian AIPA dan menyerahkan jawatan Presiden AIPA kepada Filipina.

Upacara simbolik penyerahan tugas itu disempurnakan dengan menandatangani dokumen serta penyerahan tukul dan bendera AIPA oleh Johari kepada Ketua Delegasi Filipina Raymond Democrito C Mendoza.

Penyerahan tersebut menandakan berakhirnya tugas Malaysia sebagai Presiden AIPA, yang dalam tempoh itu Kuala Lumpur telah menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung ke-46 bersempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran jawatan Setiausaha Agung AIPA Keenam Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman dari Brunei kepada Setiausaha Agung AIPA Ketujuh Dr Chem Widya dari Kemboja.

Perhimpunan yang bermula 18 Sept itu dihadiri wakil daripada sembilan Parlimen Ahli AIPA, selain 14 pemerhati termasuk Parlimen Algeria dan Sepanyol, serta Persidangan Speaker Antara Parlimen (ISC).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan