AM

KUSKOP Sampaikan Geran, Bantuan Kewangan RM2.4 Juta Perkasa Koperasi India

20/09/2025 05:18 PM

SHAH ALAM, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyampaikan bantuan sebanyak RM2.4 juta melibatkan geran dan bantuan kewangan dalam memperkasakan koperasi komuniti India, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM117,500 diperuntukkan bagi bantuan geran koperasi komuniti India melalui inisiatif Bakti MADANI.

“Selain itu, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pembiayaan Tabung Modal Pusingan manakala RM356,224 melibatkan Inisiatif I-BAP di bawah SME Corp Malaysia kepada enam syarikat milikan usahawan India,” katanya ketika berucap pada Program Pembudayaan Koperasi dan Keusahawanan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Terdahulu, lebih 350 peserta terdiri daripada wakil koperasi, usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri berhimpun pada program perkongsian maklumat berkaitan pembiayaan, latihan dan pembangunan koperasi serta usahawan itu.  

Dalam pada itu, Ramanan berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 2,189 koperasi berdaftar di Selangor dengan jumlah keahlian melebihi 654,000 orang setakat 30 Dis 2024. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, 121 koperasi ialah milik masyarakat India yang berdaftar, dengan keahlian sebanyak 52,882 orang.

“Gerakan koperasi komuniti India ini juga telah berjaya membawa pertumbuhan aset hingga RM210 juta manakala jumlah share dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM134 juta. 

“Prestasi perolehan yang dicatatkan pula berjumlah RM12 juta. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ahli dan pengurusan koperasi komuniti India atas kejayaan ini,” katanya.

Ramanan berkata jumlah berkenaan boleh dipertingkatkan dengan usaha sama agensi di bawah KUSKOP bersama-sama koperasi dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dalam kalangan komuniti India.

“Saya menaruh harapan yang amat tinggi agar koperasi dan usahawan PMKS termasuklah daripada kalangan komuniti India dapat terus berusaha memperkukuh perniagaan dan aktiviti ekonomi yang sedia ada.

“Kita tidak perlu terikat dengan modal perniagaan cara lama dan konvensional. Sebaliknya, kita perlu berfikir di luar kotak dengan mencipta pasaran sendiri menjadi peneraju dalam ruang yang belum diterokai dan menjadi nilai tambah kepada aktiviti perniagaan,” katanya.

Dalam masa sama, Ramanan berkata SKM disarankan untuk mempercepat penggunaan aplikasi digital kepada mana-mana koperasi bagi mempromosikan produk mereka dengan kos lebih rendah dan capaian lebih luas.

Katanya, penggunaan kaedah pendigitalan mampu menjadi alternatif kepada koperasi berbanding dengan kaedah konvensional yang menelan belanja tinggi.  

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan