AM

Anugerah Ekonomi Digital Sarawak 2025 Tarik 116 Penyertaan

19/09/2025 07:37 PM

KUCHING, 19 Sept (Bernama) -- Sebanyak 116 penyertaan diterima bagi Anugerah Ekonomi Digital Sarawak 2025 (DEA2025) anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), yang menjadi antara tarikan utama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS25).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata anugerah itu mengiktiraf pencapaian anak Sarawak dalam tujuh kategori kecemerlangan digital, dengan setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil.

“Daripada tujuh kategori pemenang itu nanti, kami akan memilih siapa antara mereka yang layak menerima Anugerah Ekonomi Digital Premier iaitu anugerah eksklusif untuk pencapaian paling cemerlang.

“Pemenang anugerah ini berpeluang menyertai Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2026 di Barcelona, Sepanyol pada 2 hingga 5 Mac, dengan perbelanjaan penuh ditaja termasuk tiket pergi dan balik, penginapan dan akses penuh ke persidangan berkenaan,” katanya pada sidang media rasmi IDECS25 di sini hari ini.

Sebanyak 70 penyertaan berjaya melepasi penilaian pertama untuk mara ke peringkat seterusnya dalam tujuh kategori utama iaitu Transformasi Teknologi Digital, Penyelidikan & Pembangunan dan Pengkomersialan, Keusahawanan dan Pemula Niaga, Kerajaan Digital, Kandungan Kreatif Digital, Kelestarian Alam Sekitar dan Kepimpinan Digital.

Sementara itu, Julaihi berkata IDECS25 yang berlangsung pada 22 dan 23 Okt ini mengangkat tema ‘AI & Evolusi Hijau: Pertumbuhan, Cabaran dan Daya Tahan Komuniti’ sebagai platform membincangkan manfaat serta cabaran kecerdasan buatan (AI) di peringkat global, selain memastikan Sarawak tidak ketinggalan mengikuti perkembangan terkini teknologi itu.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), IDECS25 menyasarkan penyertaan lebih 10,000 pengunjung dan peserta dari dalam serta luar negara, dengan delegasi antarabangsa dijangka hadir dari Amerika Syarikat, Jepun, Filipina, Australia, Singapura dan China.

“Kami sasarkan sebanyak 20 peratus peserta dari luar negara dan antara penceramah utama bagi edisi kali ini termasuk penulis buku berkaitan AI James Barrat, pakar AI terkemuka dunia Dr Ayesha Khanna dan pakar bidang transformasi manusia Dr Justin Cohen,” katanya. 

Persidangan edisi kelapan itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC), SMA dan Sarawak Information Systems (SAINS) dengan Bioekonomi Malaysia Sdn Bhd sebagai rakan strategik.

DEA yang diperkenalkan buat kali pertama pada 2018 adalah sebahagian daripada Strategi Digital Sarawak yang bertujuan menyepadukan teknologi digital dengan semua sektor ekonomi.

Ia turut menekankan keterangkuman digital serta pembangunan bakat dan infrastruktur, di samping mengiktiraf sumbangan daripada sektor awam dan swasta, industri, syarikat berkaitan kerajaan, universiti, badan bukan kerajaan dan individu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan