AM

PM Anwar Berlepas Pulang Dari Doha

16/09/2025 02:07 AM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

DOHA, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan delegasi Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 8.10 malam waktu tempatan (1.10 pagi, 16 Sept waktu Malaysia).

Anwar dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pagi Selasa sebelum menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth pada sebelah malam.

Terdahulu, ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak itu, Anwar mendesak tindakan tegas terhadap Israel, mengecam serangan udara terbaru rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar, serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.

Perdana Menteri turut menuntut supaya bantuan kemanusiaan menerusi Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), yang kini sedang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan menuju ke pesisir Gaza, diberi laluan selamat untuk tiba di wilayah itu.

Delegasi Anwar disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar.

Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan serangan Israel terhadap Doha baru-baru ini.

Sidang kemuncak itu turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Palestin Mahmud Abbas dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein.

Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak luar biasa itu membincangkan serangan Zionis ke atas Doha pada 9 Sept lepas, yang didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas ketika berunding mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan