Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 15 Sept (Bernama) -- Singapura akan meningkatkan hubungan dalam ASEAN dengan menaik taraf serta melaksanakan sepenuhnya perjanjian perdagangan, memperdalam rangka kerja digital rentas sempadan, membangunkan Grid Kuasa ASEAN, dan memajukan piawaian ekonomi hijau.
Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata Singapura juga akan meluaskan rangkaian perkongsian ASEAN, memastikan pemain antarabangsa utama dapat berkongsi kepentingan dalam kejayaan rantau ini, dan berusaha ke arah sebuah rantau yang terbuka, inklusif serta berpusatkan ASEAN.
“ASEAN kekal sebagai asas dasar luar kami. ASEAN mempunyai potensi besar yang boleh digerakkan melalui integrasi serantau yang lebih mendalam,” katanya dalam penambahan Kementerian Luar (MFA) kepada Ucapan Presiden pada Isnin.
Penambahan itu menggariskan inisiatif utama MFA di bawah tema “Memastikan Kedudukan Singapura Selamat dalam Dunia yang Sentiasa Berubah”, susulan pembukaan sesi pertama Parlimen ke-15 oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 5 Sept lepas.
Balakrishnan berkata bersama jiran terdekat, Malaysia, Singapura akan menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta Sistem Transit Rapid Link Johor Bahru - Singapura, yang akan meningkatkan kesalinghubungan serta mengukuhkan hubungan ekonomi dan antara rakyat.
Beliau berkata bersama Indonesia, Perjanjian Rangka Kerja yang diperluas mengenai pengurusan ruang udara, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang merupakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala serta menyediakan asas kukuh untuk kerjasama dalam bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan modal insan.
Sementara itu, MFA akan mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan China, serta memperluas ligkaran sahabat ke negara kuasa menengah di rantau yang sedang pesat membangun seperti Afrika, Asia Tengah, Amerika Latin dan Asia Barat.
Singapura juga akan melancarkan Perkongsian Strategik Komprehensif dengan New Zealand dan Perkongsian Strategik dengan Korea Selatan, selain membuka misi diplomatik baharu di Afrika dan Amerika Latin dalam beberapa tahun akan datang.
Selain itu, Singapura sedang meneroka kerjasama antara Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Kesatuan Eropah dan ASEAN bagi mengekalkan aliran perdagangan serta pelaburan terbuka dan membina daya tahan ekonomi.
“Kami juga memperluas kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau untuk mencipta peluang kepada rakyat Singapura dalam bidang masa depan,” katanya.
Balakrishnan berkata Singapura akan terus menyokong multilateralisme berasaskan peraturan yang berkesan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) secara proaktif, selain memainkan peranan konstruktif dalam pengaturan plurilateral.
“Dengan memajukan agenda positif dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan, perubahan iklim dan kesiapsiagaan pandemik, MFA akan terus menunjukkan komitmen kami sebagai pengelola bertanggungjawab kepada kepentingan global bersama,” katanya.
Beliau menekankan dasar luar Singapura mesti pantas menyesuaikan diri dengan realiti era yang lebih tidak menentu – yang dicirikan gangguan perdagangan global, penggunaan perkakas ekonomi sebagai senjata, peningkatan risiko konflik, pelemahan multilateralisme, persaingan kuasa besar yang kian sengit, serta perubahan teknologi yang pesat.
Balakrishnan berkata untuk kekal relevan dan dipercayai, MFA akan mengekalkan pendekatan konsisten dan pragmatik dengan semua negara, mengukuhkan peranan Singapura sebagai rakan yang berwibawa dan boleh dipercayai, menjaga kepentingan rakyat Singapura di luar negara, serta membina sokongan domestik terhadap dasar luar negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial