SEMPORNA, 14 Sept (Bernama) -- Seorang anggota tentera yang hilang ketika melaksanakan operasi di Pulau Mataking dekat sini pada Jumaat masih belum ditemukan.
Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 dalam kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Zulkarnain Jaafar, 27, diteruskan hari ini meliputi kawasan seluas 108 batu nautika persegi yang dibahagi kepada 15 sektor.
Pencarian yang memasuki hari kedua itu turut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin, selain disertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta ATB 2.
"Antara aset digunakan termasuk kapal KD Sri Johor, bot pemintas serta pesawat EC725 dan CN235 MSA," menurut kenyataan itu.
ATB 2 memaklumkan keadaan laut semasa operasi SAR mangsa yang merupakan anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) itu berombak setinggi antara 0.5 hingga 1 meter dengan angin timur tenggara selaju 10 hingga 20 kilometer sejam (km/j).
Semalam dilaporkan dua anggota tentera dari Kompeni C Batalion 5 RAMD yang sedang melaksanakan Operasi Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025 di lokasi kejadian hilang pada Jumaat.
Seorang daripada mangsa, Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, telah ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas bantuan perubatan diberikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial