AM

Malaysia Tuan Rumah Forum ASEAN Mengenai Pekerja Migran Ke-18

12/09/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Malaysia telah berjaya menganjurkan Forum ASEAN mengenai Pekerja Migran (AFML) ke-18 yang berakhir pada Rabu, selepas dua hari sesi perbincangan mengenai usaha memperkukuh perlindungan dan mempromosikan kerja yang wajar untuk pekerja migran di seluruh rantau ini.

Forum anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menghimpunkan wakil daripada negara anggota ASEAN, kumpulan pekerja dan majikan, pertubuhan masyarakat sivil serta rakan kerjasama antarabangsa.

“Pemerhati dari Australia, Kanada dan Switzerland turut menyertai forum ini sebagai rakan penaja, sekali gus mencerminkan sokongan kukuh masyarakat antarabangsa terhadap usaha ASEAN dalam hal ehwal migrasi buruh,” menurut KESUMA dalam kenyataan hari ini.

Forum yang bertemakan “Mempercepatkan Tindakan ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mengenai Migrasi Selamat dan Pekerjaan Wajar untuk Pekerja Migran di ASEAN” itu turut mengiktiraf peranan penting pekerja migran dalam menyokong pembangunan ekonomi dan sosial di rantau ini.

KESUMA memaklumkan, para peserta telah bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik berkaitan pengambilan pekerja secara adil, perlindungan sosial, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta akses kepada pembangunan kemahiran.

Forum berkenaan diakhiri dengan satu set syor untuk membimbing negara anggota ASEAN dalam memperkukuh perlindungan hak pekerja migran menerusi kerjasama yang lebih erat.

Antara syor utama ialah penghapusan buruh paksa melalui penguatkuasaan undang-undang lebih tegas, pelaksanaan langkah perlindungan serta penyediaan saluran aduan yang mudah diakses, pengurangan yuran pengambilan dan kos berkaitan dengan mempromosi ketelusan serta amalan pengambilan pekerja secara beretika dan peningkatan standard keselamatan serta kesihatan pekerjaan untuk pekerja migran dalam semua sektor.

Syor lain termasuk memperluas akses kepada dialog sosial, kebebasan berpersatuan dan perundingan kolektif, serta memperkukuh keterangkuman kewangan dan mengurangkan kos kiriman wang melalui sistem pemindahan yang lebih selamat dan mampu milik.

Dalam kenyataan itu, kementerian merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan rakan kerjasama atas sumbangan aktif mereka, di samping mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan serantau, sambil menambah bahawa Forum AFML seterusnya akan dianjurkan Filipina pada 2026.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan