PEKAN, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh inisiatif Menu Rahmah dengan melancarkan program Jom Cari Menu Rahmah bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap premis yang menawarkan menu harga berpatutan itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sehingga semalam, sebanyak 3,106 premis di seluruh negara termasuk 401 di Pahang menawarkan Menu Rahmah termasuk hospital, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun warung dan restoran.
“Apabila Menu Rahmah diperkenalkan pada 2023, ramai menyangka ia tidak mampu bertahan lama kerana digerakkan secara persendirian tanpa sokongan kerajaan. Namun, alhamdulillah hari ini ia berkembang dengan baik.
“Kami mahu masyarakat tahu Menu Rahmah masih wujud, malah kerajaan menyokong inisiatif ini dengan pelbagai galakan termasuk pemberian Kad Diskaun Khas Menu Rahmah,” katanya selepas merasmikan inisiatif itu di Kedai Warung Lima Ringgit di Kampung Tanjung Gosong di sini hari ini.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Jan 2023, bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian menjual sajian atau menu pada harga RM5.
Dalam pada itu, beliau berkata kad diskaun khas berkenaan membolehkan peniaga yang menyertai Menu Rahmah membeli bahan mentah asas seperti ayam, bawang dan beras pada harga lebih rendah melalui Jualan Rahmah.
“Contohnya, peniaga boleh membeli sehingga 30 ekor ayam pada harga diskaun. Ini membolehkan mereka terus berkongsi rezeki dengan orang ramai walaupun margin keuntungan lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata KPDN turut menyediakan portal rasmi menurahmah.kpdn.gov.my bagi memudahkan peniaga mendaftar serta membolehkan orang ramai mencari lokasi premis Menu Rahmah berdekatan.
Bercakap mengenai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pihaknya akan menyampaikan cadangan orang ramai supaya program bantuan kerajaan itu diperluaskan untuk pembelian barangan basah kepada Kementerian Kewangan (MOF).
“Sekarang ini, ia (SARA) ada 14 kategori barang-barang yang boleh dibeli dan yang membuat ketetapan itu adalah MOF. Jadi, saya kira nanti saya sampaikan kepada MOF tentang perkara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial