KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasukan ProTeam dari Sepanyol EQUIPO Kern Pharma yang dipilih menggantikan WorldTeam Cofidis mahu membuktikan mereka bukan sekadar pasukan gantian walaupun menerima undangan kira-kira enam minggu sebelum saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) bermula.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25 Emir Abdul Jalal berkata Equipo Kern Pharma memberi maklum balas segera sebaik diundang bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Cofidis.
“Kami memang meletakkan mereka dalam senarai teratas dalam kalangan empat pasukan yang menunjukkan minat untuk berkayuh pada LTdL25 dan sebaik diundang, mereka lantas memberi lampu hijau.
“Ini mencerminkan pengiktirafan dan hasrat tinggi pasukan itu untuk berlumba di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas mereka menjuarai gelaran berpasukan manakala pelumbanya Unai Iribar hanya tercicir 20 saat di belakang pemenang jersi hijau Petronas tahun lepas Max Poole,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Emir, Kern Pharma seharusnya menjadi antara pasukan dihormati pada LTdL25 kerana setiap pelumbanya konsisten memberikan keputusan baik pada setiap peringkat, sekali gus membolehkan pasukan itu berdiri di podium pada penampilan 2023 dan 2024.
EQUIPO Kern Pharma bakal menurunkan tiga pelumba yang pernah berkayuh di Malaysia bagi mempertahankan kedudukan terbaik berpasukan keseluruhan tahun lepas, sambil Unai Iribar Jauregi dijangka mengetuai cabaran merebut jersi hijau klasifikasi individu keseluruhan tajaan Petronas.
Dua lagi muka lama pasukan itu Jorge Gutierrez Gonzalez, 22, yang turut beraksi pada 2024 manakala seorang lagi pendaki van Cobo Cayion, 25, pernah bersaing pada LTdL23.
Selain itu, pasukan itu turut mempertaruhkan dua pakar pecut iaitu Marc Brustenga Masague, 25, dan Miguel Angel Fernandez Ruiz, 28, manakala pelumba berusia 21 tahun, Nil Gimeno Ferrer dijangka memikul peranan sebagai pelumba pembantu.
Brustenga, bekas pelumba pasukan WorldTeam Lidl-Trek dijangka mengetuai cabaran EQUIPO Kern Pharma di laluan landai selepas beberapa kali terlepas kedudukan podium sepanjang tahun ini.
Edisi ke-29 LTdL25 melewati semua 12 negeri di Semenanjung bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept dan berakhir di Menara Berkembar Petronas pada 5 Okt membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2km.
Perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial