KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang kontraktor hari ini, selepas lelaki itu mengaku bersalah mengalihkan wang RM300,000 milik seorang peniaga ke dalam akaun bank syarikatnya, empat bulan lepas.
Hakim Azrul Darus memerintahkan Muhammad Hilmi Zahidi, 38, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Sept lepas.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan lagi jika gagal membayar denda itu.
Muhammad Hilmi didakwa menolong mengalihkan wang berjumlah RM300,000 milik seorang lelaki berusia 43 tahun dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun bank syarikat miliknya, DJ Hardware Enterprise, yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai wang terbabit bukan miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe di Jalan Tun Sambanthan, di sini pada 6 Mei lepas mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada tertuduh manakala Muhammad Hilmi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial