AM

Sidang DUN Perak Tangguh, Lulus Pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak

11/09/2025 07:29 PM

IPOH, 11 Sept (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 bertujuan memastikan kawal selia lebih efisien terhadap urus tadbir institusi pendidikan agama Islam di negeri ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata pindaan berkenaan selaras penggubalan Rang Undang-Undang Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang diluluskan semalam. 

"Pindaan yang dicadang bertujuan memastikan tiada pertindihan peruntukan yang sama berhubung sekolah agama Islam dalam dua undang-undang yang berbeza di samping memastikan undang-undang yang lebih selaras serta dapat dilaksanakan tanpa sebarang konflik," katanya pada persidangan DUN Perak di sini hari ini. 

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan berkata beberapa pindaan telah dibuat kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, melibatkan seksyen 109 dan subseksyen 111 (2). 

"Pindaan RUU Pentadbiran ini bersifat pindaan berbangkit dengan dikeluarkan peruntukan berkaitan kuasa Majlis (pihak berkuasa agama negeri) mendaftarkan sekolah serta kuasa membuat peraturan-peraturan berhubung pentadbiran sekolah dan aktiviti berkaitan pengajaran agama Islam. 

"Peruntukan Enakmen Pentadbiran yang dikeluarkan itu ditambah baik dan dikandungkan menjadi sebahagian daripada peruntukan dalam RUU Kawalan Sekolah yang baharu," katanya. 

Beliau berkata kedua-dua peruntukan ini dikeluarkan daripada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 kerana Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang dirujuk tidak terpakai lagi dan termansuh dengan berkuatkuasanya Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang baharu.

Semalam, dewan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025, yang bertujuan memperkasakan, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri ini.

Persidangan bersambung ke suatu tarikh ditentukan kelak. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan