KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa punca kematian Zara Qairina Mahathir ditentukan melalui pemeriksaan klinikal dan imbasan CT yang dijalankan ketika mangsa masih bernyawa.
Dr Jessie Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat memberi keterangan bahawa pemeriksaan itu turut mengetepikan kemungkinan bahawa kecederaan lain telah menyebabkan kematian remaja berusia 13 tahun itu.
“Punca kematian ditentukan berdasarkan pemeriksaan klinikal dan imbasan CT yang dijalankan ketika remaja itu masih bernyawa, serta penemuan bedah siasat yang menolak kemungkinan kecederaan lain sebagai punca kematian,” katanya.
Beliau berkata otak mangsa didapati berada dalam keadaan pereputan lanjut semasa proses bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos lepas.
Menurut beliau, tahap pereputan yang tinggi menjadikan proses menentukan punca kematian lebih rumit, tetapi kecederaan pada tulang lazimnya masih boleh dikesan.
Dr Hiu, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini sejak 1998 berkata demikian ketika disoal peguam Nurul Rafiqah Afdul Mutolip, yang mewakili bapa Zara Qairina, pada hari keenam inkues kematian remaja berkenaan.
“Pereputan adalah proses berterusan yang menyebabkan tisu mereput sehingga hanya tinggal rangka. Dalam kes ini, saya tidak dapat menentukan punca sebenar kematian melalui bedah siasat kerana otak mangsa telah berada pada tahap pereputan lanjut,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum, setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial