AM

Alumaster Syarikat Pertama Di Sarawak Peroleh Pensijilan Berganda SIRIM, CIDB

11/09/2025 10:10 AM

KUCHING, 11 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian aluminium berpusat di Sarawak, Alumaster, muncul sebagai pengeluar pertama di negeri itu yang menerima pengiktirafan berganda daripada SIRIM QAS International dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi sistem tingkap casement dan pintu gelangsar aluminium keluarannya.

Dalam satu kenyataan, Alumaster memaklumkan bahawa pensijilan di bawah piawaian MS832:2022 dan MS1017:2022 yang diperoleh selepas proses ujian selama satu tahun setengah itu, mengesahkan bahawa produknya menepati piawaian terkini Malaysia dari segi keselamatan dan ketahanan pembinaan, sekali gus menonjolkan sumbangan Sarawak yang semakin berkembang kepada agenda pembinaan dan kelestarian negara.

Produk yang diperakui tersebut ialah “Alumaster PCW 1000 Series Aluminium Casement Window” dan “Alumaster PSD 1000 Series Aluminium Sliding Door”, yang telah diuji mengikut keperluan ketat termasuk mampu menampung beban sehingga 100 kilogram, serta tahan terhadap tekanan angin tropika yang sesuai untuk pembangunan bertingkat tinggi, kawasan pesisir pantai dan persekitaran cuaca ekstrem.

Selain prestasi struktur, sistem itu turut menawarkan penebat bunyi bagi mengurangkan gangguan bunyi trafik bandar, serta kecekapan tenaga melalui penggunaan kaca berkembar (double-glazed) yang menghalang haba inframerah sambil membenarkan cahaya semula jadi, ciri yang disesuaikan dengan gaya hidup bandar dan iklim Malaysia.

Alumaster berkata pensijilan produk SIRIM dan CIDB diiktiraf secara meluas sebagai penanda aras tertinggi dalam sektor bahan binaan negara, memastikan produk menepati piawaian keselamatan, prestasi dan pematuhan peraturan.

“Pencapaian ini bukan hanya mengenai memenuhi piawaian, ia mengenai lebih baik daripada tahap piawaian tersebut. Kami sentiasa percaya bahawa inovasi mesti berasaskan  kepada tujuan. Dari Sarawak, kami menunjukkan bahawa penyelesaian kehidupan lestari bertaraf dunia boleh dibanggakan sebagai keluaran Malaysia,” kata pengasas Alumaster William Koh.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa pengiktirafan itu menyokong Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang mempromosikan penggunaan bahan yang lebih hijau dan tahan lama dalam persekitaran binaan.

Ia menambah bahawa kebolehkitaran aluminium dan jangka hayat yang lebih panjang membantu mengurangkan keperluan penggantian, mengurankan jumlah sisa bahan dan mengurangkan kos kitar hayat, selaras dengan fokus kerajaan terhadap pembinaan mampan.

“Setiap produk yang menggunakan aluminium boleh dikitar semula, yang membantu mengurangkan impak alam sekitar dan menyokong peralihan hijau Malaysia,” kata Koh.

Kenyataan Alumaster itu memaklumkan pensijilan berganda itu satu pencapaian penting bagi Sarawak dan negara ketika Malaysia meraikan Hari Malaysia, mencerminkan semangat perpaduan, ketahanan dan kemajuan bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan