KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa penemuan dan kesimpulannya dalam kes itu, semata-mata berdasarkan kepada bukti perubatan.
Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat dengan Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata beliau tidak mengetahui sebarang penglibatan VVIP atau pihak ketiga dalam kes berkenaan.
Pakar perubatan itu berkata demikian sebagai menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang remaja yang didakwa membuli si mati.
Ram: Doktor, boleh saya katakan bahawa selepas menjalankan locus in quo menggunakan beberapa patung dan selepas melakukan bedah siasat, penemuan dan kesimpulan doktor adalah semata-masa berdasarkan kepada bukti perubatan serta kepakaran doktor sebagai pakar patologi forensik?
Dr Hiu: Ya.
Ram: Jawapan doktor sama sekali tidak akan dipengaruhi atau terkesan oleh dakwaan mengenai VVIP atau pihak ketiga, tetapi hanya berdasarkan kepakaran perubatan?
Dr Hiu: Saya tidak mengetahui tentang VVIP atau pihak ketiga dalam kes ini.
Apabila ditanya sama ada terdapat kemungkinan beberapa orang mengangkat remaja itu dan mencampakkannya ke tingkat bawah ketika tidak sedarkan diri, Dr Hiu berkata “Ya, tetapi orang yang mengangkatnya perlu meletakkan badan dalam posisi kaki menunjuk ke bawah dan meregangkannya dari tebing ke tempat dia jatuh, yang agak jauh jaraknya.”
Bagaimanapun, saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui berapa ramai orang yang mungkin telah mengangkat mangsa.
Ram: Sekiranya Zara Qairina dipukul dengan objek tumpul sehingga menyebabkan koyakan di bahagian belakang kepalanya, adakah pukulan itu boleh menyebabkan dia pengsan atau tidak sedarkan diri?
Dr Hiu: Dalam kes ini, bukan sahaja koyakan tersebut, tetapi juga pendarahan di bawah kulit kepala - iaitu pendarahan subdural dan subarachnoid - yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri.
Ram: Betulkah jika seseorang itu tidak sedarkan diri, akan menjadi sukar untuk mengangkat dan meletakkan badannya supaya jatuh dengan kaki terlebih dahulu di tempat dia didakwa jatuh?
Dr Hiu: Ia akan menjadi sukar untuk menahan badan dalam keadaan diregangkan ke arah tempat tersebut supaya badan jatuh dengan kaki terlebih dahulu di lokasi yang didakwa.
Ram: Secara ringkas, Zara Qairina berada dalam keadaan sedar, berdiri tegak sebelum jatuh, bukannya tidak sedarkan diri?
Dr Hiu: Ya, kemungkinan besar.
Sementara itu, ketika disoal peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu si mati, sama ada remaja itu akan menjerit kesakitan jika dia jatuh dari bangunan tiga tingkat, mendarat dengan kaki dan mengalami kecederaan tersebut, saksi berkata: “Saya tidak tahu, kerana saya hanya memeriksanya selepas kematian”.
Rizwandean: Jika si mati jatuh dari bangunan tiga tingkat, betulkah lebih berkemungkinan dia akan mengalami kecederaan yang lebih parah?
Dr Hiu: Patah tulang yang dialami si mati adalah teruk. Patah pada tulang tibia dan calcaneum, konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi. Bagaimanapun, saya tidak dapat menentukan jarak sebenar jatuh itu.
Dr Hiu, yang merupakan saksi pertama, telah melengkapkan keterangannya hari ini. Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung esok.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, tempat dia dimasukkan sehari lebih awal selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.
Pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayatnya digali semula untuk bedah siasat, sebelum mengumumkan satu inkues berhubung kematiannya pada 13 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial