AM

Awtar Singh Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Muhammad Salim, MCMC

11/09/2025 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Bekas Ketua MIC Bahagian Puchong Awtar Singh membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya dalam satu video di TikTok pada 17 April lepas yang menyentuh reputasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pengerusinya Tan Sri Muhammad Salim Fateh Din.

Dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikToknya, Awtar berkata beliau kesal dengan tuduhan tidak berasas yang dibuatnya sebelum ini dan mengakui kenyataan tersebut telah mencemarkan nama baik serta menggugat kepercayaan awam terhadap Muhammad Salim dan MCMC.

“Saya ingin merakam permohonan maaf ini secara khusus kepada Muhammad Salim, keluarga beliau serta semua pegawai dan kakitangan MCMC yang terkesan secara langsung atau tidak langsung akibat kenyataan saya yang tidak berasas itu,” katanya.

Awtar berkata dakwaannya sebelum ini bahawa MCMC gagal mengambil tindakan terhadap kegiatan sindiket penipuan menggunakan telefon bimbit tidak berdaftar adalah tidak benar, tidak adil dan dibuat tanpa memahami fakta sebenar.

Beliau kesal dengan kenyataan dalam video di akaun TikTok itu dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya pada masa akan datang, termasuk tidak memuat naik, menyiarkan atau menerbitkan apa-apa kenyataan atau kandungan berkait isu yang boleh menjejaskan reputasi MCMC atau pengerusinya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan